ARTIKEL

Aidil Sharin Sahak

Aidil mahu Kuching City agresif ketika menentang Tampines Rovers

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kuching City FC mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menerima kunjungan Tampines Rovers FC dalam aksi pembukaan Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN Shopee Cup 2026-2027 di Stadium Taha Ariffin, jam 9 malam esok.

Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak berkata, bermain di hadapan penyokong sendiri memberi kelebihan dari segi suasana, sokongan dan pengetahuan mengenai keadaan padang, namun beliau menegaskan pasukannya tidak boleh memandang rendah kemampuan wakil Singapura itu.

“Di atas kertas, bermain di tempat sendiri memang satu kelebihan. Kita ada penyokong, keluarga dan pemain juga lebih mengenali keadaan padang serta stadium.

“Tetapi dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku. Kita tidak boleh memandang rendah lawan dan perlu bermain mengikut pelan sendiri serta sentiasa lebih agresif apabila turun ke padang,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Taha Ariffin, di sini, hari ini.

Aidil turut mengakui peningkatan sokongan penyokong sejak dua musim lalu menjadi antara perkembangan paling positif buat kelab.

“Dulu sebelum saya datang, mungkin hanya dua atau tiga ratus penyokong hadir. Sekarang selepas pasukan memperoleh keputusan baik, semakin ramai datang dan semua mahu mendapatkan tiket.

“Kita memerlukan penyokong. Sepanjang dua musim saya berada di sini, saya dapat lihat ramai penyokong yang sentiasa positif walaupun ada keputusan yang tidak memihak kepada kita. Kita mahu penyokong dan pasukan bergerak sebagai satu keluarga,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa perkara lain yang turut penting ialah usaha The Cats menunjukkan permainan positif dan membina hubungan lebih kuat dengan penyokong sepanjang kempen di laman sendiri.

“Saya mahu melihat bola sepak yang positif. Musim masih panjang dan apa sahaja keputusan esok tidak menentukan keseluruhan musim kerana peluang masih terbuka untuk semua pasukan,” ujarnya.

Pada masa sama, Aidil memberitahu bahawa beliau masih belum membuat keputusan sama ada beberapa pemain yang baru selesai menjalani tugasan antarabangsa akan diturunkan atau tidak.

Katanya, Haziq Nadzli dan Nazmi Faiz belum sempat menyertai latihan bersama pasukan kerana baru tiba di Kuala Lumpur hari ini.

“Saya tahu ramai yang bertanya mengenai pemain kebangsaan kita, tetapi sehingga sekarang mereka belum berlatih bersama pasukan.

“Mereka baru tiba di Kuala Lumpur, namun itu tidak bermakna mereka tidak akan bermain esok. Ia bergantung kepada latihan hari ini dan sejauh mana kita memerlukan mereka sebelum saya membuat keputusan,” katanya.

Mengenai perkembangan Ronald Ngah Wanja pula, Aidil mengesahkan penyerang itu tidak akan diturunkan menentang Tampines kerana kecederaan.

“Saya tidak mahu mendedahkan terlalu banyak mengenai keadaan pasukan kerana kita tidak mahu lawan tahu perancangan kita.

“Tetapi ya, Wanja mengalami kecederaan dan keadaannya tidak begitu baik. Apa yang boleh saya katakan, dia 100 peratus tidak akan bermain,” katanya.

“Saya mahu pemain menikmati permainan dan memberikan sesuatu yang membuatkan penyokong mahu kembali ke stadium setiap kali kita bermain di tempat sendiri,” katanya.

The Cats membuat penampilan sulung dalam Shopee Cup musim ini selepas menamatkan Liga Super Malaysia musim lalu sebagai naib juara.

Mereka ditempatkan dalam Kumpulan A bersama Tampines Rovers, Buriram United, Ratchaburi FC, Ho Chi Minh City Police FC, Borneo FC Samarinda dan Manila Digger FC.

Tampines pula hadir dengan pengalaman lebih luas di pentas Asia dan serantau, menjadikan pertemuan itu ujian penting buat The Cats dalam usaha memulakan kempen Shopee Cup dengan keputusan positif.

BERITA LAIN

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha