MATU: Seramai 6,000 ketua isi rumah di daerah ini menerima sumbangan daging lembu yang diagihkan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, semalam.
Sumbangan tersebut disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya dalam usaha membantu penduduk membuat persiapan menyambut Syawal.
Menurutnya, inisiatif berkenaan bertujuan meringankan beban keluarga terutama golongan memerlukan, selain memastikan masyarakat setempat dapat menyambut perayaan dengan lebih bermakna.
Juanda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng berkata, program itu dilaksanakan sebanyak 16 kali sepanjang tempoh lapan tahun.
“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penyertaan masyarakat daripada pelbagai kaum di kawasan ini.
“Selain membantu persiapan Aidilfitri, program berkenaan turut menjadi ruang untuk berkongsi kegembiraan perayaan dalam suasana harmoni tanpa mengira latar belakang agama dan kaum,” katanya.
Tambahnya, pengagihan sumbangan turut memperkukuh semangat gotong-royong apabila Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama penduduk setempat berganding bahu membantu proses agihan kepada ketua isi rumah.
Pada majlis sama, Juanda turut menyampaikan duit raya kepada ahli JKKK yang hadir sebagai penghargaan atas komitmen mereka menjayakan program tersebut.-TVS


