
AHMAD NOHDARI
DARI jauh kelihatan Cikgu Badar mundar-mandir seperti mencari sesuatu.
Langkahnya bagai lipas kudung ke sana dan ke sini.
Dia memasuki bilik guru meninjau sebentar. Mata melilau memerhati.
Selepas itu bingkas pula menuju ke Pusat Sumber Sekolah.
“Cikgu Badar cari siapa?” Tanya Cikgu Ramlah ketika bertembung dengan Cikgu Badar di Pusat Sumber. Beliau merupakan guru penyelaras Pusat Sumber Sekolah.
“Kak Ramlah ada nampak Aiman tak?” jawab Cikgu Badar penuh resah sambil senyum hambar. Keringat halus telah mula melekat di dahi.
Matanya tak henti-henti melihat sama ada kelibat anak didiknya Aiman ada antara murid-murid yang sedang membaca buku di dalam Pusat Sumber.
Aiman memang telah dikenali bukan sahaja dalam kalangan guru-guru dan pembantu pengurusan murid di kelas pendidikan khas tetapi turut dikenali oleh warga sekolah.
Aiman seorang pelajar hiperaktif berusia 11 tahun. Dia telah berpindah masuk ke sekolah tersebut setahun yang lalu.
Pernah beberapa kali Aiman keluar tanpa kebenaran. Kecoh guru dan pembantu pengurusan murid mencarinya.
Namun sejak itu sudah agak lama Aiman tidak meloloskan diri dari kelas. Cikgu Badar pergi pula ke kantin. Manalah tau Aiman pergi ke sana. Sangkaan Cikgu Badar meleset.
Tiada kelibat Aiman. Cikgu Badar melangkah pula menuju ke makmal komputer yang terletak bersebelahan kantin. Ada sesi kelas Cikgu Zamir berlangsung. Semuanya hampa.
“Bang…ada nampak budak saya tak…manalah tahu dia main-main di sini” tanya Cikgu Badar kepada Pak Atan, pegawai keselamatan sekolah ketika mencari di pos pengawal.
“Tak ada pula cikgu…dari tadi saya ada di pos pengawal ni… memang tak ada anak-anak yang datang main di sini,” jawab Pak Atan.
“Pintu pagar belakang juga kita kunci, cikgu… tak mungkin dia dapat lalu… melainkan jika dia panjat pagar tu…” tambah Pak Atan.
Kata-kata Pak Atan itu menambah bimbang Cikgu Badar. Saiz tubuh Aiman yang agak tinggi itu memungkinkan untuk dia mampu melakukan perkara tersebut.
“Ahhh…tak mungkin…tak mungkin,” getus Cikgu Badar dalam hati.
Dia tidak mahu berfikir sampai ke tahap itu. Cikgu Badar berdoa dalam hati agar perkara itu tidak berlaku.
Kali ini memang dia cukup risau. Tidak pernah Aiman hilang sampai begini lama. Riak wajah membayang apa yang berada di dalam hatinya.
Sejam lagi ibu bapa Aiman dan murid-murid pendidikan khas yang lain akan datang mengambil anak masing-masing untuk pulang.
Cikgu Badar berkongsi info kehilangan tersebut dengan warga sekolahnya. Manalah tahu mereka ada ternampak Aiman di mana-mana. Nasib masih tidak menyebelahinya.
Sosok Aiman masih tidak kelihatan.
Cuma satu tempat sahaja yang belum Cikgu Badar pergi mencari iaitu di pejabat pentadbiran sekolah.
“Tak mungkin dia ada di sini, cikgu…” kata Puan Sarah.
“Tapi tak tahulah kalau dia masuk ke bilik guru besar tuu…,” tambah Puan Sarah sambil jarinya menuding ke arah pintu bilik yang terbuka.
Cikgu Badar segera menjengok. Tiada sesiapa di dalamnya.
Dia semakin bimbang.
Tapi Cikgu Badar perasan dan nampak pelik apabila kerusi guru besar berpaling ke arah dinding.
Ketika itu juga dia teringatkan bahawa Aiman suka membaca buku.
Dia memang cukup mengenali hobi anak itu. Perlahan dia melangkah masuk dan menghampiri.
Alangkah bersyukurnya Cikgu Badar apabila melihat Aiman ada tersandar duduk di kerusi itu bagai seorang bos yang sedang tekun membaca buku. Lega.
“Aiman pergi mana?” Tanya Cikgu Badar sambil memeluk murid istimewanya itu dengan lega dan penuh kasih sayang.



