DALAT: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Rumah James, Sebaya Atas di Sungai Baoh Burak dibuka susulan kejadian banjir besar yang melanda kawasan berkenaan, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, kawasan Ulu Baoh terjejas akibat limpahan air yang meningkat secara mendadak.
“Ini adalah disebabkan hujan lebat yang berterusan sejak semalam dan limpahan air besar dari kawasan ulu sungai.
“Keadaan ini telah menyebabkan beberapa rumah panjang di kawasan Ulu Baoh telah dimasuki banjir,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Menurut Royston, antara rumah panjang yang terjejas termasuklah Rumah Simu (17 pintu), Rumah Lenggang (22 pintu), Rumah Buan (19 pintu) dan Rumah Jawa (22 pintu).
Sehubungan itu, beliau telah turun padang bagi meninjau situasi semasa di kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.
Beliau menambah bahawa pihaknya akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

(FOTO: N57 TELLIAN)



