PONTIANAK: Pembukaan semula penerbangan antara Kuching, Kuala Lumpur dengan Pontianak dijangka dapat meningkatkan lagi bilangan pengunjung khususnya dari Kalimantan Barat ke Sarawak dan ibu negara Malaysia.
Konsulat Malaysia di Pontianak, Azizul Zekri Abd Rahim berkata ini bukan sahaja memberi impak positif terhadap pelancongan tetapi juga ekonomi dan perdagangan melibatkan dua negara.
“Justeru dengan pelancaran penerbangan AirAsia dari Kuching ke Pontianak dan juga Kuala Lumpur ke Pontianak ini pasti akan memberi impak positif kepada kedua-dua pihak.
“Ini juga melibatkan pelancongan selain mendapatkan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan di Malaysia serta Sarawak,” katanya ketika berucap pada pelancaran penerbangan dari Kuala Lumpur dan Kuching ke Pontianak sempena Pameran Pelancongan Sarawak 2025 anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) di Ayani Megamall, di sini, semalam.
Menjelas lanjut, beliau memaklumkan bahawa program tersebut juga bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan sudah pasti banyak program berkaitan pelancongan, pendidikan dan kebudayaan yang diadakan di Malaysia.

“Jadi, kita menjemput semua masyarakat Indonesia khususnya Kalimantan Barat untuk datang bercuti ke Malaysia untuk melihat keunikan yang ditawarkan.
“Tahun lalu, seramai kira-kira setengah juta (500,000) warga Kalimantan ke Sarawak dan hampir 400,000 warga Malaysia ke Kalimantan Barat menggunakan laluan darat.
“Ini membuktikan bahawa Sarawak dan Kalimantan Barat mempunyai potensi besar dalam pelancongan, pendidikan dan perdagangan malah ditambah lagi kemudahan penerbangan. Semua ini akan meningkat dengan lebih baik,” ujarnya.
Beliau memberitahu bahawa Sarawak dan Kalimantan Barat memiliki kelebihan kerana mempunyai sempadan paling panjang iaitu kira-kira 900 kilometer (km).
Menurutnya, Kalimantan Barat juga merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang mempunyai pintu masuk atau sempadan darat paling banyak dengan Malaysia yang menjadi kelebihan kepada wilayah ini.
“Ia termasuk sempadan Tebedu-Entikong; Biawak-Aruk; dan Lubok Antu-Nanga Badau dan kesemuanya terletak di Kalimantan Barat,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran STB, Barbara Benjamin Atan memaklumkan bahawa pameran pelancongan yang bermula pada 25 hingga 27 Julai itu merupakan inisiatif yang menggabungkan promosi pelancongan sektor kesihatan dan pendidikan demi manfaat dua wilayah tersebut.
“Dengan kehadiran lebih 40 delegasi dari Sarawak pada acara ini, ia memperkukuh imej Sarawak sebagai rakan pelancongan yang diyakini dan terbuka kepada kerjasama jangka panjang.
“STB komited untuk terus bekerjasama dengan rakan industri di Kalimantan Barat. Kami percaya dengan komitmen bersama, kepercayaan dan komunikasi yang baik, kita mampu membina hubungan pelancongan yang memberi manfaat kepada kedua-dua wilayah,” tegasnya.


