ARTIKEL

Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Aminuddin

AirBorneo lancar laluan antarabangsa sulung ke Singapura

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: AirBorneo melakar satu lagi sejarah apabila membuka jualan tiket bagi laluan antarabangsa sulung yang menghubungkan Kuching dengan Singapura, menjelang pelancaran perkhidmatan penerbangan harian bermula 22 Julai ini bertepatan dengan sambutan Hari Sarawak.

Jualan tiket dibuka bermula jam 10 pagi pada 13 Julai, dengan tambang pengenalan kelas ekonomi sehala bermula RM399, manakala kelas perniagaan bermula RM871, termasuk cukai lapangan terbang serta surcaj bahan api.

Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Aminuddin berkata, laluan baharu itu merupakan pencapaian penting dalam usaha memperluaskan rangkaian penerbangan syarikat ke peringkat antarabangsa selepas memperkukuh perkhidmatan domestik.

“Pelancaran perkhidmatan Kuching-Singapura menandakan satu langkah penting dalam perjalanan perkembangan AirBorneo apabila buat pertama kali kami menghubungkan Sarawak ke destinasi antarabangsa.

“Singapura merupakan hab serantau dan antarabangsa yang penting. Laluan baharu ini akan membuka lebih banyak peluang dalam sektor perdagangan, pelancongan dan pelaburan antara Sarawak dengan rantau ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, penerbangan harian itu akan beroperasi antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dengan Terminal 4 Lapangan Terbang Changi Singapura, sekali gus memperkukuh jaringan penerbangan Sarawak ke hab penerbangan dan perniagaan utama di rantau ini.

Katanya, tarikh pelancaran itu mempunyai nilai simbolik kerana mencerminkan keyakinan untuk terus melangkah ke hadapan dalam memperluaskan jaringan penerbangan serta membuka lebih banyak peluang hubungan ekonomi dengan dunia luar.

Mengulas lanjut, beliau berkata AirBorneo akan terus komited menyediakan perkhidmatan penerbangan yang selamat, boleh dipercayai dan bernilai kepada para penumpang, di samping menyokong pembangunan ekonomi serta sektor pelancongan negeri.

“Pencapaian ini mencerminkan cita-cita jangka panjang untuk terus mengembangkan rangkaian penerbangan antarabangsa demi menyokong pembangunan ekonomi dan sosial,” ujarnya.
Sementara itu, penumpang boleh membuat tempahan secara eksklusif menerusi laman sesawang rasmi AirBorneo dan aplikasi mudah alih syarikat penerbangan itu.

Bagi kelas ekonomi, penumpang menikmati elaun bagasi kabin sehingga 10 kilogram bagi satu beg serta bagasi daftar masuk sehingga 23 kilogram, selain pemilihan tempat duduk secara percuma.

Penumpang kelas perniagaan pula diberikan elaun bagasi kabin sehingga 15 kilogram melibatkan maksimum dua buah beg, manakala bagasi daftar masuk antara 32 hingga 43 kilogram mengikut jenis tambang yang dipilih serta kemudahan pemilihan tempat duduk tanpa sebarang caj tambahan.

Penerbangan pertama MY363 akan memulakan operasi pada 22 Julai ini, berlepas dari Kuching pada 6.50 petang dan tiba di Singapura pada 8.25 malam, manakala penerbangan MY364 dari Singapura dijadual berlepas pada 9.15 malam sebelum tiba di Kuching pada 10.50 malam.

AirBorneo, syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak yang mengambil alih operasi MASwings pada Januari 2026, kini mengendalikan penerbangan ke 21 destinasi menggunakan armada yang terdiri daripada pesawat Boeing 737-800, ATR 72-500 dan DHC-6-400 Twin Otter bagi memperkukuh hubungan udara di rantau Borneo.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU