KUCHING: Syarikat penerbangan baharu milik kerajaan Sarawak, AirBorneo, dijangka memulakan operasi pada Januari tahun depan susulan pengambilalihan MASwings Sdn Bhd yang bakal dimuktamadkan pada 31 Disember ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin, berkata AirBorneo akan memulakan operasi menggunakan rangkaian Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) sedia ada di Sarawak, Sabah dan Labuan sejurus proses pengambilalihan selesai.
Beliau berkata, proses pengambilalihan mengambil masa kerana melibatkan pelbagai prosedur wajib yang perlu dipatuhi.
“Kita akan lengkapkan pengambilalihan pada 31 Disember. Banyak proses perlu dilalui, sebab itu ia mengambil masa.
“Pasukan kami (MOTS) bermesyuarat setiap minggu untuk meneliti lebih 20 sistem yang terlibat serta syarat regulatori dan teknikal,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Kim Shin berkata, AirBorneo akan menukar pesawat, logo dan livery secara berfasa, dengan dua pesawat iaitu satu ATR dan satu Twin Otter yang telah bersedia untuk digunakan.
“Mulai Januari, kita akan menggunakan logo AirBorneo dan proses menukar livery dijangka mengambil masa sehingga enam bulan,” katanya lagi.
Beliau berkata operasi menggunakan pesawat jet ke destinasi rantau seperti Kuala Lumpur memerlukan proses kelulusan tambahan, dan dijangka hanya dapat bermula sekitar suku ketiga 2026.
“Ketika ini kita bergerak secara berperingkat. Kita ambil alih MASwings dahulu, gunakan lesen sedia ada, kemudian mohon variasi lesen untuk menambah destinasi dan pesawat. Setiap perubahan perlu kelulusan pengawalseliaan,” katanya.
Tambahnya, pengurusan AirBorneo kelak akan dikendalikan oleh lembaga dan pasukan profesional, manakala kementeriannya hanya memantau aspek dasar.
Mengenai harga tiket, beliau berkata perkara itu akan diteliti pihak pengurusan AirBorneo berdasarkan harga pasaran semasa, sambil memberi jaminan tiada gangguan pembelian tiket selepas pengambilalihan.
Beliau menegaskan semua kakitangan MASwings akan diserap masuk ke AirBorneo kecuali mereka yang memilih untuk tidak berbuat demikian.
“Semua ditawarkan penyertaan supaya tiada gangguan operasi. Sebaik sahaja kita mengambil alih, perkhidmatan RAS akan diteruskan seperti biasa.
“Pengambilalihan itu turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak Sarawak dalam sektor penerbangan termasuk juruterbang, anak kapal, jurutera pesawat, mekanik, latihan kru serta pembangunan industri aeroangkasa di negeri ini,” katanya lagi.

