ARTIKEL

AirBorneo tawar tambang promosi bagi laluan Kuching–Kuala Lumpur hari ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pengumuman pembukaan jualan tiket laluan Kuching–Kuala Lumpur oleh AirBorneo Airways mengukuhkan lagi peranan Kuching sebagai pintu masuk strategik Sarawak dan hab penghubung utama wilayah ini.

Hari ini, syarikat penerbangan itu mengumumkan pembukaan jualan tiket bagi laluan yang dinanti-nantikan itu, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh hubungan udara antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Dalam satu kenyataan, AirBorneo memaklumkan perkhidmatan baharu itu akan beroperasi dua kali sehari antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) dan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1), sekali gus memperluaskan akses kepada rangkaian destinasi domestik dan antarabangsa.

“Langkah ini mengukuhkan peranan Kuching sebagai pintu masuk strategik, di samping menawarkan kemudahan dan kesalinghubungan yang lebih baik kepada pelancong perniagaan dan percutian.

“Bagi meraikan pelancaran laluan ini, AirBorneo turut memperkenalkan tambang promosi ‘Sarawakku Sayang’ bermula daripada RM375 sehala bagi Kelas Ekonomi dan RM736 sehala bagi Kelas Perniagaan, termasuk cukai lapangan terbang serta surcaj bahan api,” menurut kenyataan itu.

Tempahan dibuka bermula jam 7 pagi (GMT+8) pada 7 Julai 2026, manakala penerbangan sulung dijadualkan bermula pada 20 Julai 2026.

Sebagai rekod, penerbangan komersial sulung pada 20 Julai 2026 akan beroperasi bagi laluan Kuala Lumpur–Kuching dengan 100 tempat duduk ditawarkan kepada orang awam.

Perkhidmatan tetap dua kali sehari bagi laluan Kuala Lumpur–Kuching dan Kuching–Kuala Lumpur pula akan bermula pada 21 Julai 2026.

Tiket boleh diperoleh secara eksklusif melalui laman sesawang rasmi AirBorneo dan aplikasi mudah alih syarikat penerbangan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, penjualan tiket secara eksklusif melalui saluran tempahan rasmi membolehkan pelanggan menikmati tambang terendah yang disahkan, harga yang telus, transaksi yang selamat, sokongan pelanggan secara langsung serta kemas kini tempahan secara masa nyata.

Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Aminuddin, berkata pembukaan jualan tiket bagi laluan Kuala Lumpur merupakan satu pencapaian penting dalam fasa pertumbuhan syarikat penerbangan itu.

“Kuala Lumpur merupakan pintu masuk strategik yang memperluaskan akses kepada lebih banyak destinasi domestik dan antarabangsa, sekali gus membuka peluang lebih besar dalam sektor pelancongan, perdagangan, pelaburan dan perniagaan.

“Sebagai syarikat penerbangan milik Sarawak, kami komited menghubungkan rakyat, perniagaan dan peluang melalui perkhidmatan penerbangan yang selamat, boleh dipercayai serta berpatutan.

“Pengenalan tambang ‘Sarawakku Sayang’ adalah sebahagian daripada komitmen tersebut bagi menjadikan perjalanan udara lebih mudah diakses, di samping menyokong aspirasi Sarawak ke arah kesalinghubungan yang lebih kukuh, pembangunan pelancongan serta pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.

Laluan Kuala Lumpur menjadi pencapaian pertama dalam strategi pengembangan rangkaian jangka panjang AirBorneo.

Seiring pertumbuhan syarikat penerbangan itu, AirBorneo komited untuk terus memperkukuh kesalinghubungan Sarawak, menyokong pembangunan sektor pelancongan dan ekonomi, serta menyediakan perkhidmatan penerbangan yang selamat, boleh dipercayai dan menawarkan nilai terbaik kepada komuniti yang dilayaninya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU