KUCHING: Dalam kesibukan di terminal bas sempena Krismas, deretan kedai kecil yang menjual aksesori tradisional Sarawak mencuri perhatian pengunjung.
Meskipun hanya menjual aksesori, gerai tersebut menarik perhatian pengunjung untuk membeli hadiah istimewa kepada orang tersayang.


Promoter Rien Craft di Terminal Bas Kuching, Wenny Ho, 43, memberitahu bahawa walaupun aksesori ini lebih sesuai digunakan semasa Hari Gawai, terdapat juga pengunjung yang membelinya untuk sambutan Krismas.
“Sesetengah pengunjung membeli aksesori di sini untuk diri mereka sendiri, dan ada juga yang membelinya untuk keluarga dan rakan-rakan di kampung,” katanya.
Wenny menyatakan bahawa aksesori yang menjadi kegemaran pengunjung ialah gelang, gelang tembaga, dan anting-anting.
“Kebanyakan aksesori di sini adalah hasil buatan tangan pemilik gerai ini, iaitu kakak ipar saya sendiri, tetapi sebahagian daripadanya juga dihasilkan oleh saya.
Harga aksesori di gerai ini bermula dari RM5 hingga RM500, bergantung kepada jenis aksesori yang dibeli oleh pengunjung,” tambahnya ketika ditemu bual oleh Suara Sarawak.
Wenny menjelaskan bahawa gerainya dibuka setiap hari sejak 18 Disember lalu hingga 1 Januari tahun hadapan.
“Selain perayaan Krismas, gerai ini turut beroperasi di Plaza Merdeka, Tebingan Kuching, dan lokasi lain yang menjadi tumpuan acara besar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Wenny meluahkan rasa syukurnya kerana walaupun perayaan Krismas ini tidak semeriah Hari Gawai, produk jualannya tetap mendapat sambutan pengunjung.


