KUCHING: Bahagian Kuching kekal sebagai gelanggang untuk aksi final Piala Premier Sarawak 2026 yang dijadual berlangsung sama ada 7 atau 14 November depan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Fazzrudin Abdul Rahman menegaskan, tiada perancangan pihaknya untuk mengubah gelanggang perlawanan akhir bagi saingan berprestij itu ke kawasan lain.
Sebaliknya, aksi penentuan juara bagi edisi kedua Piala Premier Sarawak 2026 itu kekal mengikut jadual asal.
“Aksi final bagi Piala Premier Sarawak 2026 kekal di Kuching, tiada perancangan bagi kita melaksanakannya di bahagian lain,” ujar Fazzrudin kepada Arena Suara Sarawak.
Kempen Piala Premier Sarawak 2026 membabitkan lapan pasukan, iaitu empat pasukan terbaik dari dua kumpulan (Zon Utara dan Zon Selatan) yang bersaing dalam Liga Premier Sarawak 2026.
Saingan SPL 2026 kini berbaki satu lagi perlawanan peringkat zon.
Enam perlawanan berlangsung Sabtu ini, masing-masing tiga membabitkan Zon Utara dan Zon Selatan.
Empat pasukan terbaik layak ke peringkat suku akhir untuk merebut Piala Premier Sarawak 2026.
Aksi suku akhir diadakan secara timbal balik dan dijadual berlangsung 10 Oktober (Suku Akhir 1) dan 17 Oktober (Suku Akhir 2).
Sementara itu, perlawanan peringkat separuh akhir pertama dijadual berlangsung pada 24 Oktober, manakala separuh akhir kedua pada 31 Oktober.


