ARTIKEL

Kapitan Datuk Lau Sei Lok

Akta Anti-Buli 2026 langkah tepat pada masanya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Gejala buli perlu ditangani sebagai isu pendidikan dan pembentukan sahsiah, bukan sekadar masalah disiplin, kata Presiden Persatuan Komuniti Kawasan Simpang Tiga dan Persatuan Foochow Padawan, Kapitan Datuk Lau Sei Lok.

Beliau berkata, akta yang dirancang kerajaan itu merupakan langkah tepat pada masanya dalam usaha menangani gejala buli di sekolah serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat untuk pelajar di seluruh negara.

Perundangan ini mencerminkan komitmen kerajaan menangani isu buli secara lebih serius dan menghantar mesej jelas bahawa perlakuan sedemikian tidak boleh diterima dalam masyarakat.

“Akta ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran mengenai bahaya buli, malah memperkukuh perlindungan mangsa serta menegaskan tanggungjawab bersama antara sekolah, keluarga dan masyarakat dalam menangani gejala itu,” katanya mengenai pelaksanaan Akta Anti-Buli 2026.

Ibu bapa memainkan peranan penting sebagai pendidik pertama anak-anak dan perlu memberi perhatian bukan sahaja kepada pencapaian akademik, tetapi juga pembentukan karakter serta tingkah laku mereka.

“Kanak-kanak memerlukan bimbingan daripada sekolah dan keluarga untuk membentuk nilai yang betul sejak usia muda. Seorang anak yang belajar menghormati orang lain akan membesar menjadi warga yang bertanggungjawab dan berperikemanusiaan. Itulah tujuan sebenar pendidikan,” ujarnya.

Tegas beliau, usaha membanteras buli tidak boleh bergantung kepada perundangan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama sekolah, ibu bapa, komuniti dan agensi kerajaan menerusi pendidikan, kaunseling serta kempen kesedaran berterusan.

Beliau turut menyambut baik penekanan Akta Anti-Buli 2026 terhadap langkah pencegahan dan akauntabiliti kolektif kerana ia memberi tumpuan kepada punca masalah, bukannya hanya mengenakan hukuman selepas kejadian berlaku.

Beliau berharap akta ini menjadi penghalang berkesan terhadap gejala buli serta membantu mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih harmoni, selamat dan inklusif.

“Hanya melalui kerjasama antara sekolah, keluarga, masyarakat dan kerajaan, kita mampu membina satu kerangka menyeluruh yang memastikan setiap kanak-kanak membesar dalam persekitaran yang selamat, sihat dan bermaruah tanpa sebarang bentuk buli,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU