KUCHING: Penguatkuasaan Akta Antibuli 2026 (Akta 876) yang berkuat kuasa pada 16 Jun lalu dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak dan pelajar daripada ancaman serta kesan buruk budaya buli.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, akta ini menyediakan landasan perundangan yang lebih jelas untuk menangani kes buli dan berperanan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesan serius perbuatan berkenaan.
“Aspek penyedaran dan advokasi perlu diberi penekanan berterusan kerana masih banyak kes buli yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
“Kita melihat aspek penyedaran dan advokasi ini sebagai komponen penting dalam usaha membendung budaya buli memandangkan masih terdapat banyak kes yang tidak dilaporkan.
“Kadangkala sesuatu kes hanya diketahui masyarakat apabila ia sudah menjadi serius dan mendapat perhatian umum. Sebab itu usaha meningkatkan kesedaran mengenai isu buli perlu dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku Inovasi Pedagogi Melalui Reka Bentuk Pembelajaran Yang Dipertingkatkan Teknologi: Kajian Kes Global dan Implikasi Untuk Amalan di Wisma Wanita, di sini, hari ini.
Tambah beliau, menerusi Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS), pelbagai usaha sedang dan akan terus dilaksanakan bagi mendidik masyarakat mengenai bahaya buli serta tindakan yang perlu diambil sekiranya berdepan situasi tersebut.
“Selain advokasi, aspek penguatkuasaan juga tidak boleh dipinggirkan kerana undang-undang berfungsi memastikan tindakan sewajarnya dapat dikenakan terhadap pelaku.
“Undang-undang mesti ada dan penguatkuasaannya juga mesti ada. Pada masa sama, masyarakat perlu tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kes buli, termasuk kepada siapa laporan perlu dibuat dan saluran yang boleh digunakan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri telah menjadikan isu buli sebagai salah satu fokus utama menerusi penubuhan jawatankuasa khas yang berperanan menyelaras usaha pencegahan, pengurusan kes serta bantuan kepada mangsa.
“Jawatankuasa ini turut bertanggungjawab mengumpul maklumat berkaitan kes buli, memperkukuh program kesedaran serta memastikan prosedur pelaporan dapat difahami dengan lebih jelas oleh masyarakat.
“Ramai yang mungkin masih tidak pasti apakah yang dikategorikan sebagai buli, bagaimana untuk membuat laporan dan bantuan apa yang boleh diterima sebagai mangsa. Semua perkara ini perlu diberi penjelasan secara menyeluruh,” jelasnya.
Pada masa sama, Fatimah berkata tindakan sewajarnya perlu dikenakan terhadap individu yang didapati melakukan perbuatan buli bagi memastikan keyakinan masyarakat terhadap sistem perlindungan yang diwujudkan terus terpelihara.
“Jika laporan dibuat tetapi tiada tindakan diambil, masyarakat akan mempersoalkan keberkesanan usaha tersebut.
“Oleh itu, kita mesti memastikan pelaku dikenakan tindakan yang sewajarnya mengikut undang-undang,” tegasnya.
Beliau turut berkata, mangsa buli sering berdepan trauma yang boleh memberi kesan terhadap emosi dan kesejahteraan mereka dalam jangka panjang.
Sehubungan itu, katanya, bantuan dan sokongan kepada mangsa perlu diberikan perhatian yang sama penting dengan tindakan terhadap pelaku bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan secara berkesan.
Mengulas peruntukan akta berkenaan yang turut meletakkan tanggungjawab tertentu kepada ibu bapa sekiranya anak mereka terlibat dalam perbuatan membuli, Fatimah berkata pendekatan itu menegaskan peranan penting institusi keluarga dalam pembentukan sahsiah kanak-kanak.
“Tanggungjawab mendidik anak-anak supaya tidak melakukan kekerasan terhadap orang lain bermula di rumah.
“Namun begitu, setiap kes perlu dilihat secara menyeluruh dan disiasat berdasarkan keadaan masing-masing,” ujarnya.
Beliau berkata penerapan nilai murni seperti hormat-menghormati, tidak memandang rendah orang lain serta menjauhi sebarang bentuk kekerasan merupakan asas penting dalam membentuk generasi yang bebas daripada budaya buli.
“Kanak-kanak masih berada dalam proses perkembangan dan pembentukan pemikiran. Oleh itu, ibu bapa, sekolah dan masyarakat mempunyai tanggungjawab bersama untuk menerapkan nilai-nilai positif dalam kehidupan mereka.
“Dari perspektif itu, kita dapat memahami mengapa tanggungjawab tertentu turut diletakkan di bahu ibu bapa dan orang dewasa yang mempunyai hubungan rapat dengan kanak-kanak tersebut,” katanya.
Untuk rekod, Akta Antibuli 2026 merupakan undang-undang khusus yang diperkenalkan bagi menangani dan mencegah kejadian buli melibatkan individu berusia 18 tahun ke bawah serta pelajar di semua institusi pendidikan.
Pelaksanaannya turut disokong menerusi penubuhan Tribunal Antibuli bagi memperkukuh mekanisme perlindungan dan tindakan terhadap kes-kes berkaitan.


