MIRI: Aktiviti pelombongan mata wang kripto yang berlaku di sekitar bandar raya ini semakin mencatatkan peningkatan sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, bandar raya Miri mencatatkan bilangan kes tertinggi berkaitan aktiviti berkenaan berbanding bandar lain di Sarawak.
“Beberapa bulan kebelakangan ini sahaja telah menyaksikan sebanyak sembilan kes dilaporkan, dan kini dalam siasatan.
“Dalam beberapa kes yang dilaporkan, ia menunjukkan bahawa aktiviti berkenaan kini semakin berleluasa kerana ia telah beralih dari kawasan bandar ke luar bandar.
“Justeru, tindakan segera perlu diambil bagi menangani isu seperti ini yang semakin berleluasa,” katanya pada sidang media Isu Pelombongan Haram Bersama Sarawak Energy Bhd (SEB) di sini hari ini.
Beliau berkata, SEB kini sedang menyiasat kes-kes terbabit dengan teliti bagi mendedahkan tahap operasi haram serta menguatkuasakan tindakan yang sewajarnya.
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan pemilik premis untuk sentiasa berwaspada terhadap hartanah atau premis milik mereka, terutamanya yang disewakan.
Katanya, pemilik premis perlu membuat pemeriksaan secara berskala bagi memastikan penyewa mematuhi peraturan sewaan, dan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti terlarang.
“Pemilik premis perlu mengambil langkah proaktif bagi menjaga premis milik mereka untuk mengelaknya daripada disalahgunakan bagi tujuan yang menyalahi undang-undang,” ujarnya.




