KUCHING: Aktiviti Pengakap mampu membantu mengimbangi perkembangan akademik, fizikal dan mental kanak-kanak menerusi pelbagai program kepimpinan serta perkhemahan yang dianjurkan.
Pengerusi Majlis Pengakap Daerah Padawan, Meehan Jorai berkata, penyertaan dalam aktiviti Pengakap bukan sahaja membentuk sahsiah dan disiplin murid, malah melahirkan generasi muda yang lebih berdikari, berketerampilan dan berwawasan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Kursus Ketua Enam Sekawan Peringkat Negeri Sarawak bagi Daerah Padawan yang berlangsung di SK St George pada Sabtu.
Menurutnya, tema kursus ‘Pengakap Pemimpin Masa Depan’ amat bertepatan kerana peserta yang menyertainya berpotensi menjadi pemimpin pada masa hadapan dalam pelbagai bidang.
Tambah beliau, program perkhemahan seperti ini juga mampu mengurangkan kebergantungan kanak-kanak dengan gajet dan media sosial selain menggalakkan mereka menjalani aktiviti sihat secara berkumpulan.
“Kami berharap perkhemahan seperti ini dapat melahirkan ahli Pengakap yang berketerampilan, berwawasan dan berdikari, selain menjauhkan mereka daripada terlalu leka dengan gajet IT dan media sosial,” ujarnya.
Kursus Ketua Sekawan Daerah Padawan yang berlangsung dari 15 hingga 17 Mei itu melibatkan penyertaan 134 peserta dan 43 pemimpin daripada sembilan sekolah di daerah Padawan serta tiga sekolah dari daerah Siburan.
Dalam pada itu, Meehan turut merakamkan penghargaan kepada SK St George atas sokongan dan kesediaan pihak sekolah menyediakan kawasan bagi menjayakan perkhemahan berkenaan.



