DARO: Kira-kira 7.5 hektar kawasan hutan berhampiran Kampung Kut, Pulau Bruit, di sini, terbakar dalam kejadian baharu yang dipercayai berpunca daripada aktiviti pertanian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro, Hasman Bakar berkata, operasi pemadaman berjaya mengawal kebakaran membabitkan kira-kira tiga hektar, manakala baki 4.5 hektar masih terbakar.
“Berdasarkan siasatan awal, kebakaran dipercayai berkaitan dengan aktiviti pertanian, namun punca sebenar masih dalam siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hasman berkata, kebakaran itu bukan kejadian berulang di lokasi terdahulu, sebaliknya kebakaran baharu yang berlaku di kawasan berhampiran.
Katanya, cuaca panas dan kering, selain asap tebal serta jerebu, menyukarkan operasi pemadaman terutama untuk mengesan dan mengawal titik api.
“Bekalan air turut menjadi kekangan, khususnya untuk operasi di bahagian tengah kawasan kebakaran, manakala ketiadaan laluan sesuai mengehadkan pergerakan anggota dan jentera,” katanya.
Beliau berkata, pasukan bomba akan meneruskan operasi pemadaman dan pemantauan sehingga keseluruhan kawasan terbabit dapat dikawal serta risiko api merebak dapat dielakkan.


