DI PEDALAMAN Sarawak, jauh dari hiruk-pikuk kota, satu perubahan senyap sedang berlaku.
Ia bukan revolusi bersenjata, tetapi satu perubahan pemikiran, satu kesedaran bahawa kemajuan dan kelestarian tidak lagi perlu bergerak secara berasingan.
Perkara ini berkaitan masa depan serta memastikan anak cucu kita masih dapat melihat sungai yang jernih, tanah yang subur dan hutan yang hidup.
Perubahan ini mula kelihatan di Ulu Katibas, Song, sebuah kawasan rumah panjang yang terletak jauh di pedalaman hutan.

Di sini, lada bukan sekadar tanaman, malah menjadi sumber kehidupan.
Ini kerana Sarawak menyumbang 99 peratus pengeluaran lada negara, menjadikan tanaman ini nadi ekonomi bagi ribuan keluarga luar bandar.
Namun, dalam keghairahan mengejar hasil yang tinggi, banyak petani terpaksa bergantung kepada baja dan racun kimia.
Akibatnya, tanah menjadi kurang subur, sungai tercemar, dan spesies akuatik seperti ikan semah dan empurau semakin terancam.

Namun kini, sesuatu yang luar biasa sedang berlaku.
Sekumpulan petani di Ulu Katibas mula beralih arah daripada pertanian konvensional kepada pertanian lestari.
Mereka mengurangkan, malah meninggalkan terus penggunaan bahan kimia dan sebaliknya mengamalkan kaedah organik.
Mereka bukan sahaja menanam lada, tetapi turut memelihara alam sekitar.
Dengan sokongan WWF-Malaysia dan Lembaga Lada Malaysia (MPB), para petani ini diberi latihan dalam Amalan Pertanian Baik (APB) atau Good Agricultural Practices (GAP), serta dibimbing untuk memperoleh pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP).
Pensijilan ini bukan sekadar satu bentuk pengiktirafan, malah menjadi tiket untuk menembusi pasaran premium yang menghargai produk mesra alam.
Setakat ini, 10 orang petani di Ulu Katibas memperoleh pensijilan ini.
Perkembangan yang berlaku di Ulu Katibas bukanlah satu kes terpencil.
Di hujung utara Sarawak, di Ba’kelalan yang sejuk dan tenang, tanaman padi juga menjadi simbol perubahan.
Komuniti Lun Bawang di sini telah lama terkenal sebagai pengusaha sawah padi, namun sejak beberapa tahun lalu, mereka mula mengamalkan kaedah Sistem Intensifi kasi Padi (SRI).
Kaedah ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada input kimia, malah turut meningkatkan hasil.
Di Ba’kelalan, SRI bukan sekadar satu teknik, malah menjadi satu gerakan komuniti.
Penduduk bekerjasama, berkongsi ilmu dan menyemai semula nilai menghormati tanah dan air.
Mereka percaya bahawa apabila kita menjaga alam, alam juga akan menjaga kita.
Penting untuk difahami bahawa pertanian lestari bukan sekadar isu alam sekitar.
Ia berkaitan dengan kelangsungan ekonomi luar bandar.
Apabila tanah rosak, sungai tercemar dan hasil menurun, yang menanggung beban ialah para petani sendiri.
Namun, apabila mereka diberi pilihan yang lestari, disediakan sokongan teknikal dan akses kepada pasaran yang adil, mereka mampu mencipta kehidupan yang lebih baik untuk diri sendiri, keluarga serta alam sekitar.
Namun, laluan ke arah ini bukannya mudah.
Banyak cabaran perlu dihadapi, daripada kekurangan pengetahuan teknikal, kos awal yang tinggi hinggalah kekangan mendapatkan pembiayaan.
Di sinilah terletaknya peranan penting agensi seperti WWF-Malaysia.
Mereka bukan sahaja menyediakan latihan, malah membantu petani mendapat akses kepada pembiayaan mikro, membina infrastruktur bagi penyimpanan dan pengeringan hasil, serta menghubungkan petani dengan pasaran lestari.
Sebagai rakyat Sarawak, kita harus berbangga dan menyokong usaha ini.
Kita sering berbicara tentang pembangunan luar bandar dan kemajuan ekonomi, tetapi kita juga perlu memastikan pembangunan itu tidak mengorbankan warisan alam kita.
Ladang lada lestari di Ulu Katibas dan sawah padi SRI di Ba’kelalan membuktikan bahawa pertanian moden tidak semestinya menghancurkan alam, malah boleh menjadi penyelamatnya.
Kesedaran ini harus berkembang dan disemai dalam kalangan generasi muda, diperkuat oleh dasar kerajaan dan disokong oleh pengguna.
Setiap kali kita membeli hasil pertanian yang mesra alam, kita sebenarnya sedang menyokong para petani yang menjaga bumi ini.
Kemajuan tidak semestinya menggondol hutan. Ia boleh hadir dalam bentuk tanah yang subur, air yang bersih dan komuniti yang berdaya tahan.
Di Ulu Katibas dan Ba’kelalan, kita melihat bukti bahawa kemajuan dan kelestarian bukan dua hala yang bertentangan.
Sebaliknya, kedua-duanya boleh berjalan seiring, jika kita memilihnya.



