ARTIKEL

CHIENG (lima kanan) dengan yang lain semasa menghadiri program tersebut.

Amal tabiat kitar semula

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Masyarakat Sibu digesa untuk menjadikan konsep kitar semula 3R (kurangkan, guna semula dan kitar semula) sebagai amalan mereka.

Gesaan ini dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek Chieng Jin Ek semasa menghadiri Hari Kitar Semula Waste to Wealth di sini.

Beliau berkata, usaha ini amat penting untuk dijadikan tabiat penduduk Sibu kerana ia akan membantu Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dalam pengurusan tapak pelupusan.

“Walaupun kita ada tapak pelupusan, tetapi seiring pertambahan populasi penduduk, jumlah sisa pepejal juga meningkat, justeru, hayat tapak pelupusan ini juga boleh menjadi lebih singkat.

“Oleh itu, amat penting bagi kita mengurangkan pembuangan sisa pepejal ke dalam tong sampah dan mengamalkan kitar semula setakat yang kita mampu seterusnya dijadikan tabiat,” ujarnya.

Bagi menjadikannya sebagai tabiat masyarakat, beliau mengatakan banyak perkara perlu dilakukan dalam memupuk kesedaran masyarakat ke arah itu.

Menurut Chieng, walaupun banyak galakan dan promosi untuk mengurangkan pembuangan sisa pepejal, ia tidak begitu berkesan.

“Kita tetap mengatakan bahawa kita perlu mengitar semula, tetapi jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan tidak berkurangan tetapi semakin meningkat.

“Dengan peningkatan sampah di tapak pelupusan sedia ada, kita perlu melihat bagaimana untuk melakukannya dengan berkesan,” tegasnya.

Jelas beliau, penglibatan masyarakat dalam projek kitar semula adalah satu permulaan yang baik kerana promosi itu bukan sahaja terhad di kawasan kejiranan tetapi juga sekolah.

“Saya berharap konsep Kitar Semula 3R ini bukan sekadar slogan, tetapi semoga suatu hari nanti ia akan menjadi tabiat masyarakat,” tegasnya.

Pada program anjuran MPS dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Lima dan Belatok Sibu itu, Chieng turut menyerahkan sijil penghargaan kepada penduduk yang terlibat menjayakan program tersebut.

Pengerusi MPS Kaunselor Clarence Ting Ing Horh, Timbalan Pengerusi MPS Kaunselor Mohammed Abdullah Izkandar Roseley serta Pengerusi JKKK Bukit Lima dan Belatok Sibu Kapitan Peter Lau turut hadir.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU