ARTIKEL

Datuk Ibrahim Baki FOTO RAMIDI SUBARI

Amanah yang lebih besar menanti – Ibrahim Baki

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Datuk Ibrahim Baki memainkan peranan lebih besar dalam membantu kepimpinan tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sekiranya diberikan mandat sebagai Naib Presiden Sayap Bumiputera.

Menurutnya, amanah yang lebih besar menanti, termasuk membantu dalam perancangan dasar dan hala tuju parti serta memastikan suara rakyat dan ahli di peringkat akar umbi terus didengar.

“Jika dipilih, saya akan terus komited mendukung perjuangan parti. Tanggungjawab lebih besar menanti, termasuk membantu kepimpinan merangka dasar serta mendengar denyut nadi rakyat dan ahli di peringkat akar umbi,” katanya.

Ibrahim menegaskan, perpaduan dalam PBB akan terus kukuh walaupun wujud pertandingan bagi jawatan Naib Yang Dipertua pada Perhimpunan Agung PBB kali ini.

Menurutnya, pemilihan dalam PBB bukan medan perpecahan, sebaliknya satu proses demokrasi untuk mengukuhkan kepimpinan parti.

“Selepas pemilihan, kita tetap bersatu. Tiada permusuhan, tiada dendam kerana perjuangan kita adalah untuk parti dan rakyat,” katanya.

Jelas Timbalan Setiausaha Agung PBB itu, beliau pada awalnya tidak bercadang untuk bertanding, namun selepas menerima banyak pencalonan dan sokongan daripada rakan-rakan dalam parti, beliau akhirnya membuat keputusan untuk menawarkan diri.

“Sebagai ahli parti, saya tidak pernah mengejar pangkat atau darjat. Tetapi apabila ramai rakan mencalonkan dan memberikan sokongan, saya tidak mahu mengecewakan mereka,” katanya.

Mengimbas kembali pelibatannya dalam PBB, Ibrahim berkata, beliau aktif sejak 1985 sebagai Ketua Pemuda di peringkat cawangan.

Pada 1987, beliau dipilih menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pemuda PBB di peringkat negeri dan seterusnya memegang jawatan Setiausaha Agung serta Naib Presiden Pemuda selama 15 tahun.

Kini, beliau berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Agung PBB, Bendahari Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), serta Ketua Whip parti.

Ketika ditanya mengenai keyakinannya untuk memenangi jawatan Naib Yang Dipertua, Ibrahim menyerahkan keputusan kepada perwakilan.

“Saya tidak boleh kata terlalu yakin atau tidak yakin. Semuanya terpulang kepada kebijaksanaan perwakilan. Ahli-ahli PBB sangat matang dan memahami perjuangan parti,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU