ARTIKEL

Datuk Gerawat Gala. -Gambar fail

Ambil alih semua bekas jalan balak di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ULU BARAM: Kerajaan GPS telah memutuskan untuk mengambil alih semua bekas jalan balak di Sarawak, termasuk di Ulu Baram.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, Kerajaan Sarawak komited memperkasa pembangunan luar bandar.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini mengumumkan bahawa semua bekas jalan balak akan diambil alih dan digazetkan sebagai jalan negeri.

“Langkah ini membolehkan Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan bagi menaik taraf jalan-jalan tersebut.

“Sebelum ini, kerajaan menghadapi kesukaran menyalurkan peruntukan kerana status jalan berkenaan masih sebagai jalan balak dan bukan jalan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Blok Rumah Panjang Baharu Kampung Long Apu, di sini, pada Jumaat.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Datuk Dennis Ngau dan Ahli Parlimen Baram Datuk Anyi Ngau.

Gerawat berkata, kerajaan telah menaik taraf lebih 400 kilometer (km) bekas jalan balak, jambatan dan sistem perparitan di kawasan Baram menerusi Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA).

Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut diminta mengkaji keseluruhan rangkaian jalan balak sepanjang 2,364 km yang menghubungkan kampung-kampung di Baram.

“Oleh kerana rangkaian jalan ini sangat panjang, kerja baik pulih dan naik taraf akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan juga mempunyai perancangan untuk menaik taraf jalan masuk ke rumah panjang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kerajaan Sarawak turut menyediakan peruntukan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bagi membaiki jalan atau jambatan yang rosak akibat bencana.

“Bagaimanapun, peruntukan itu disalurkan mengikut keperluan semasa dan JPBNS telah memohon JKR menyediakan kontrak jangka panjang bagi kerja penyelenggaraan jalan.

“Kontraktor juga ditempatkan di kawasan pedalaman bagi membolehkan kerja penyelenggaraan dilaksanakan dengan lebih cepat apabila diperlukan,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU