Ambil kira komposisi kaum

KUCHING: Kerajaan Persekutuan perlu mengambil kira komposisi semua kaum untuk kemasukan ke Institut Pendidikan Guru (IPG) di Sarawak.

Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang berkata, berdasarkan laporan akhbar, hanya 77 atau 31.5 peratus daripada 244 pemohon daripada kaum Dayak yang berjaya memasuki institusi guru itu di Sarawak tahun ini.

“Berdasarkan pendedahan itu, kaum Dayak terdiri daripada Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan kaum etnik lain yang lebih kecil.

“Isu ini mencerminkan ketidakseimbangan kaum bagi guru pelatih,” katanya semasa sidang Parlimen semalam.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menjelaskan isu berkenaan terutamanya jumlah permohonan kaum Dayak yang berjaya memasuki IPG di Sarawak tahun ini.

“KPM perlu menerangkan mengenai merit justifikasi dengan jelas bagi pemilihan guru pelatih ke institut perguruan di Malaysia.

“Saya menggesa tindakan holistik segera dapat diambil demi kebaikan dan pemilihan guru pelatih secara adil untuk semua kaum di Sarawak,” katanya lagi.

Muyang mendedahkan, rakyat Sarawak juga mementingkan keharmonian dalam kepelbagaian kaum untuk bersama-sama menjalinkan perpaduan yang kukuh.

Suara Sarawak