ARTIKEL

Dayang Norjihan menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Buku The Revival of Sarawak Songket and Keringkam: Honouring Datuk Amar Juma’ani yang disempurnakan Premier di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini. GAMBAR: RAMIDI SUBARI

Anak Perempuan Premier Dedahkan Wasiat Pusaka Ibunya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Selayah atau selendang keringkam yang dihadiahkan tulus oleh Almarhumah Datuk Amar Juma’ani kepada anaknya Dayang Norjihan, menjadi pemangkin minat beliau untuk menghidupkan kembali warisan songket dan keringkam di Sarawak.

Anak kedua kepada pasangan Almarhumah dengan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu berkata, kecintaan mendalam ibunya terhadap seni warisan itu sudah berakar sejak muda dan memuncak apabila Almarhumah menempah selayah keringkam merah jambu khas untuk dirinya sewaktu mengandung.

“Saya masih ingat beliau menunjukkan selayah keringkam itu ketika saya berusia 10 tahun tetapi pada waktu itu saya belum memahami maknanya.

“Ketika saya berusia 17 tahun barulah saya mengerti, apabila beliau meminta saya berjanji untuk memakainya pada hari perkahwinan.

“Selepas saya berkahwin beliau, mengingatkan saya sekali lagi jika suatu hari nanti saya dikurniakan anak perempuan simpanlah selayah itu dan wariskan kepadanya” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Buku The Revival of Sarawak Songket and Keringkam: Honouring Datuk Amar Juma’ani, yang disempurnakan Premier di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Menurutnya, ibunya telah mengumpul lebih 19 koleksi yang dikumpul sejak zaman muda.

“Apabila diminta berkongsi koleksi tersebut hati saya masih terasa pilu, walaupun sudah lima bulan selepas pemergiannya.

“Namun saya sedar, betapa besar kasih dan kesabaran beliau terhadap seni ini, dan sebab itulah saya menguatkan hati untuk menyelak satu persatu koleksi dalam almari pakaiannya” katanya.

Mengulas lanjut katanya, selayah keringkam itu melambangkan nilai warisan yang jauh lebih besar daripada sekadar sehelai tekstil.

“Kita mungkin tidak menyedari betapa berharganya tekstil seperti ini namun, hakikatnya ia adalah warisan kuat yang mengangkat martabat serta kehalusan budi kita sebagai anak Sarawak.

“Ia berpotensi diketengahkan ke peringkat antarabangsa sebagaimana yang sering beliau harapkan” katanya.

Dalam pada itu, Dayang Norjihan turut berkongsi sisi lain peribadi ibunya yang penyayang terhadap golongan memerlukan terutamanya cara beliau melayan anak-anak yatim, golongan rentan, malah haiwan peliharaan iaitu kucing.

“Ibu selalu berpesan, jangan sampai kita leka dengan kesenangan sendiri sehingga melupakan yang memerlukan” jelasnya.

Dayang Norjihan turut berkongsi kenangan yang menggambarkan keprihatinan ibunya terhadap rakyat apabila Almarhumah gemar berjalan di Kubah Ria membeli sayur.

“Apabila saya bertanya kenapa beliau melakukan semua itu, sedangkan saya atau orang lain boleh membantunya beliau menjawab, tidak, kerana ingin mendengar rintihan rakyat.

“Selepas pemergiannya saya mengetahui seluruh Kubah Ria menangis kerana kehilangan beliau” ujarnya.

Menyorot karakter ibunya, beliau menggambarkan almarhumah sebagai seorang yang sentiasa merancang ke hadapan dan melakukan setiap perkara dengan penuh kasih.

“Jika beliau tiada di rumah kerana urusan kerja, beliau akan menelefon untuk mengingatkan saya supaya menjaga ayah dari segi makan minumnya, barangan peribadi dan pakaian” katanya.

Keringkam sulaman tangan berbenang emas pada kain selayah atau selendang yang diperbuat daripada muslin atau kain Swiss telah lama menghiasi majlis rasmi dan perkahwinan di Sarawak.

Reka bentuknya yang rumit memerlukan masa berbulan-bulan malah bertahun-tahun untuk disiapkan dengan nilai sehelai keringkam boleh mencecah antara RM2,000 hingga RM30,000.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU