KUCHING: Rancangan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghantar anak Sarawak melanjutkan pengajian ketenteraan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom disifatkan sebagai langkah bijak yang wajar disokong sepenuhnya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata inisiatif itu bukan sahaja membuka laluan baharu kepada anak muda Sarawak dalam bidang ketenteraan, malah berpotensi melahirkan barisan pemimpin masa depan yang berkaliber.
“Anak Sarawak yang terpilih menuntut di Sandhurst bukan hanya didedahkan kepada teori dan strategi ketenteraan, bahkan dibentuk menjadi pemimpin berwibawa dengan nilai disiplin, integriti, akauntabiliti serta budaya kepimpinan yang tinggi,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.
Langkah itu sangat bertepatan dalam usaha memperkasa generasi muda negeri ini dan mampu menyumbang kepada kemajuan Sarawak ke arah negeri maju dan progresif.
“Sekali lagi, Premier tampil dengan satu idea yang cemerlang – menyediakan asas kepimpinan negeri berteraskan prinsip sejagat tentang keadilan, merit, hati nurani dan keterangkuman tanpa mengira latar belakang agama, bangsa atau warna kulit,” ujarnya.
Dalam masa sama, Nanta mencadangkan agar Sarawak turut mempertimbangkan untuk menghidupkan semula pasukan Sarawak Rangers sebagai kor keselamatan dalaman negeri.
Cadangan itu perlu dilihat sebagai pelengkap kepada pasukan keselamatan negara dan bukan sebagai pesaing kepada Angkatan Tentera Malaysia.
“Ia sejajar dengan saranan Premier yang menyentuh aspek keselamatan dalam pengurusan negeri. Maka, sudah tiba masanya meneroka keperluan menubuhkan semula Sarawak Rangers sebagai pasukan yang diberi mandat menjaga keselamatan dalaman negeri secara khusus,” jelasnya lagi.

