KUCHING: Keperluan modal permulaan yang tinggi, tempoh pulangan yang panjang serta risiko kerugian menjadi antara faktor golongan belia kurang berminat menceburi sektor pertanian dan penternakan di Sarawak.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Ripin Lamat berkata, tanggapan bahawa kedua-dua sektor itu memerlukan kerja fizikal yang berat turut mempengaruhi minat golongan muda untuk menjadikannya sebagai bidang keusahawanan.
Menurutnya, persepsi sedemikian merupakan antara cabaran yang perlu ditangani bagi menggalakkan lebih ramai belia meneroka peluang dalam sektor pertanian dan penternakan.

“Kesukaran mendapatkan tanah turut menjadi kekangan kepada golongan muda yang berhasrat memulakan perusahaan dalam kedua-dua sektor itu.
“Akses kepada kemudahan asas yang bersesuaian juga penting bagi membolehkan aktiviti pertanian dan penternakan dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor mengenai faktor golongan belia kurang menceburi sektor pertanian dan penternakan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Dr Ripin menjelaskan, keterbatasan akses kepada teknologi serta pengetahuan teknikal turut menjadi antara cabaran yang dihadapi belia untuk menceburi bidang berkenaan.
Pada masa sama katanya, kesukaran mendapatkan akses pasaran boleh menyukarkan pengusaha muda memasarkan hasil pertanian dan penternakan mereka.
“Selain itu, risiko seperti perubahan cuaca, penyakit ternakan dan turun naik harga hasil boleh menjejaskan pendapatan,” katanya.
Dr Ripin berkata, cabaran tersebut perlu diberi perhatian kerana sektor pertanian dan penternakan mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai bidang keusahawanan dalam kalangan generasi muda.
Bagaimanapun, beliau berpandangan kedua-dua sektor itu masih mempunyai potensi besar sekiranya diusahakan menggunakan pendekatan moden dan berorientasikan komersial.
Menurutnya, penggunaan teknologi merupakan antara pendekatan yang boleh dimanfaatkan bagi membantu golongan belia mengusahakan bidang pertanian dan penternakan secara lebih moden.


