BACHOK: Seorang anggota bomba mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.
Mohammad Shuhaili, 46, didakwa memandu sebuah Toyota Innova secara cuai sehingga melanggar mangsa di kawasan parkir Sri Chalet Nipah pada 3 Jan lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin selepas pihak pembelaan memohon jumlah jaminan dikurangkan.
Menurut Bernama, mahkamah menetapkan 3 Ogos ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.


