KUCHING: Seorang anggota penguat kuasa sebuah agensi kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan mencederakan bapa kandungnya dengan memijak kepala dan memukul menggunakan sebatang paip PVC.
Tertuduh berusia 29 tahun itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Iris Awen Jon.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun yang sama, kerana mencederakan bapanya berusia 52 tahun menggunakan senjata yang berbahaya iaitu sebatang paip pvc.
Dia melakukan kesalahan itu di kediaman mereka di Jalan Merdeka, sekitar jam 12.00 tengah hari, 3 Jun lepas.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Chuah menawarkan jaminan tunai RM10,000 beserta dua penjamin tempatan kepada tertuduh.
Selain itu, tertuduh juga diminta melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
Namun, Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan mangsa tinggal bersama tertuduh.
Ia bagi mengelakkan perkara yang sama berulang selain memerintahkan tertuduh direman sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 8 Julai depan.
Difahamkan, ketika mangsa sedang menjalankan aktiviti di luar rumah tiba-tiba didatangi anak lelakinya.
Tertuduh tiba-tiba menyerang memukul mangsa dari arah belakang menggunakan sebatang paip PVC.
Mangsa yang terbaring di lantai simen selepas terkena pukulan lalu dipijak anaknya di bahagian muka hingga menyebabkan kecederaan.
Punca kejadian kerana tertuduh tidak berpuas hati apabila bapanya enggan membantu menyambungkan semula bekalan elektrik dan air ke rumah baru tertuduh.
Siasatan kes dilakukan oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Ain Wong Abdullah.


