ARTIKEL

Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) membantu memindahkan mangsa yang dipercayai lemas untuk mendapatkan rawatan lanjut di Klinik Kesihatan Layar, Spaoh, Betong, hari ini.

Anggota TDM pantas bantu mangsa lemas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Tindakan pantas seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) membantu menyelamatkan seorang lelaki yang dipercayai lemas di Sungai Nangga Muajau, Spaoh, hari ini.

Menurut kenyataan Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div), kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika anggota Kompeni B, Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD) sedang mengagihkan bekalan air mineral kepada penduduk Rumah Panjang (Rh) Muajau.

Misi itu turut disertai anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Betong dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Ketika berada di lokasi, anggota tentera terdengar jeritan meminta pertolongan sebelum mendapati seorang lelaki dipercayai lemas di sungai berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, mangsa berjaya ditarik ke tebing oleh ahli keluarganya tetapi didapati tidak sedarkan diri.

Menyedari keadaan itu, Koperal Mohammad Badrulamin Mohd Rosdi dari Kompeni B, 13 RAMD segera memberikan bantuan kecemasan dengan melakukan CPR terhadap mangsa.

“Usaha itu diteruskan selama hampir 15 minit sebelum mangsa mula menunjukkan tanda-tanda sedar dan berjaya dibawa ke tempat selamat sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Layar, Spaoh, Betong pada jam 11.15 pagi menggunakan trak pikap Hilux milik tentera.

“Mangsa tiba di klinik pada jam 12 tengah hari dan ditempatkan di Zon Kecemasan untuk mendapatkan rawatan serta pemantauan lanjut oleh pegawai perubatan,” katanya.

1 Div turut memuji tindakan pantas, keberanian dan profesionalisme Kpl Mohammad Badrulamin serta anggota Kompeni B, 13 RAMD dalam membantu mangsa.

Menurut 1 Div, tindakan itu mencerminkan kesiapsiagaan anggota TDM bukan sahaja dalam melaksanakan misi bantuan kemanusiaan, malah ketika berdepan situasi kecemasan yang memerlukan tindakan segera.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU