
EIZA NASHWA
Segamat, Johor
Darul Takzim
DAUN-DAUN kering menari-nari ditiup angin.
Zhi Yang hanya memerhati dari jendela.
Raut wajah wanita separuh usia itu kelihatan resah.
Dia seperti sedang menanti kehadiran seseorang.
“Buat apa tu?” Li Wei menyoal isterinya.
Dia menjinjit sebekas plastik berisi limau mandarin lalu meletakkan di atas meja.
Suasana sepi seperti baru dilanggar geroda.
Zhi Yang hanya membisu seribu bahasa.
Setiap kali menjelang perayaan Tahun Baharu Cina isterinya akan hilang arah.
Ingatan terhadap anak tunggalnya, Li Mei menerjah di kotak fikiran.
Sudah hampir dua tahun anak gadisnya tidak pulang beraya ke kampung.
“Papa, Li Mei akan bercuti selama seminggu untuk sambut Tahun Baharu Cina,”ujar anaknya dengan girang.
“Baguslah begitu, papa akan minta mama masak makanan kegemaran kamu,” balas Li Wei sambil mendakap erat anaknya ketika pulang bercuti di hujung minggu.
Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
Kejadian malang itu berlaku tanpa diduga.
Li Mei membawa teman lelakinya pulang beraya.
Lelaki berketurunan Nepal itu kelihatan segak dan tampan.
Tetapi, isterinya tidak dapat menerima permintaan anak gadisnya untuk hidup bersama lelaki asing itu.
Berlaku pertengkaran antara dua beranak.
Li Mei ditatang bagai minyak yang penuh.
Sejak kecil segala kemahuan dituruti.
Namun, pada hari itu Li Mei bertekad angkat kaki.
Dia membawa diri entah ke mana.
Jejaknya tidak diketahui bagaikan hilang tidak tentu rimbanya, mati tidak tentu kuburnya.
Gelombang ombak masih keras membadai.
Hati seorang bapa meruntun rindu yang memuncak.
Apatah lagi naluri seorang ibu yang melahirkan permata keluarga.
Sudah tentu jiwa isterinya menahan lara. Penawar yang dicari, racun yang ditemui.
Li Wei mendorong isterinya yang berkerusi roda ke meja makan.
Penyakit strok yang dihadapi isterinya setahun yang lalu masih belum sembuh.
Tubuhnya semakin lemah dan tidak bermaya.
Hatinya sayu melihat keadaan isterinya yang semakin uzur.
Sejak kebelakangan ini, dia tidak mahu menjamah nasi.
Doktor menjelaskan kesihatan isterinya semakin merosot.
Jauh di sudut hati, dia tetap menaruh harapan anaknya akan pulang beraya pada tahun ini.
Mengikut kalendar lunar tahun ini merupakan tahun naga.
Tahun yang membawa tuah kepada Li Wei sekeluarga kerana dikurniakan anak perempuan kira-kira 25 tahun lalu.
Selepas kehadiran Li Mei baru mereka berasa teruja untuk meraikan Tahun Baharu Cina dan menjalankan tradisi memberi angpau kepada anak kesayangan.
Hampir lima tahun Li Wei makan hati dengan kerenah keluarga dan masyarakat sekeliling kerana tiada zuriat.
Setiap kali bertemu saudara-mara persoalan anak sering menjadi tajuk perbualan.
Ketika asyik melayan kenangan lama, Li Wei mendengar isterinya batuk dengan kuat.
Langkah kakinya semakin deras.
Zhi Yang sedang menahan sakit di atas katil.
Kelihatan darah pekat mengalir daripada bibirnya.
Dengan kudratnya dia mengangkat isteri kesayangan ke dalam perut kereta.
Hatinya menjadi tidak keruan.
Tiba-tiba, tangan isterinya terkulai layu.
Angpau merah tergenggam kemas di tangannya.
Li Wei meraung sekuat hati, suaranya tenggelam dalam bunyi dentuman mercun dan percikan bunga api.



