ARTIKEL

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (lima kiri) menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Anjung Usahawan dan Taman Perindustrian Sematan. Foto Mohd Alif Noni.

Anjung Usahawan Sematan perkukuh peluang PKS tempatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEMATAN: Pembukaan Anjung Usahawan dan Taman Perindustrian Sematan dijangka memperluas peluang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mengembangkan perniagaan serta meraih manfaat daripada kemasukan pelaburan ke Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kemudahan bersepadu itu menggabungkan ruang keusahawanan dan kawasan perindustrian bagi memenuhi keperluan perniagaan di peringkat tempatan.

Anjung Usahawan dan Taman Perindustrian Sematan menyediakan sembilan unit gerai makan, tiga gerai runcit, dua premis pemprosesan ringan, kafe siber, pejabat am, kedai serbaneka, pejabat pengurusan dan tandas. Foto Mohd Alif Noni.

Anjung Usahawan bukan sahaja menyediakan ruang perniagaan makanan dan minuman, malah menawarkan kemudahan perkhidmatan serta pejabat, termasuk sebagai alamat perniagaan bagi syarikat yang memerlukan premis bersesuaian.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Anjung Usahawan dan Taman Perindustrian Sematan di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, pembangunan itu mencerminkan pendekatan inklusif kerajaan negeri memperluas peluang ekonomi, bukan sahaja menerusi taman perindustrian berskala besar seperti Samajaya di Kuching dan Samalaju di Bintulu, malah melalui kemudahan untuk usahawan di peringkat bahagian dan daerah.

Katanya, perusahaan tempatan perlu menikmati manfaat daripada pertumbuhan pelaburan domestik dan asing, termasuk melalui pembekalan barangan serta perkhidmatan kepada syarikat besar yang beroperasi di Sarawak.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai bantuan pembiayaan dan program pembangunan keupayaan bagi membantu usahawan memulakan serta mengembangkan perniagaan.

Antaranya termasuk kemudahan pembiayaan kredit mikro, skim pinjaman industri kecil dan sederhana, USTEV, Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK) serta program Go Digital.

Bantuan itu merangkumi pembiayaan, penggunaan teknologi digital, pembangunan produk, pembungkusan dan pemasaran bagi membantu usahawan meluaskan pasaran, termasuk ke peringkat antarabangsa.

Awang Tengah turut menggalakkan usahawan tempatan memanfaatkan potensi sektor pelancongan di Lundu dan Sematan yang kaya dengan tarikan alam semula jadi, termasuk pantai, pulau dan kawasan tanah tinggi.

Akses jalan raya yang semakin baik melalui Lebuh Raya Pan Borneo berpotensi menyokong perkembangan sektor itu serta membuka peluang perniagaan dalam bidang makanan, minuman dan pemprosesan hasil pertanian.

Tambahnya, kedudukan Lundu dan Sematan berhampiran sempadan Indonesia turut menawarkan peluang perdagangan rentas sempadan, selaras dengan perancangan pembangunan kawasan sempadan Sarawak serta cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) di Biawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU