SONG: Projek Pembangunan Semula Sekolah Daif di Negeri Sarawak di bawah Peruntukan RM1 Bilion (Fasa 2), Pakej 10, di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Temalat dirasmikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, hari ini.
Projek bernilai RM10 juta itu merangkumi pembinaan sebuah blok pentadbiran empat tingkat, dua blok berek Jenis C, sebuah asrama lelaki, sebuah asrama perempuan dan sebuah rumah pam.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, kemudahan baharu itu bertujuan menyediakan persekitaran pembelajaran, pengajaran dan penginapan lebih selesa, selamat serta kondusif kepada warga sekolah.
Projek berkenaan turut memberi manfaat kepada masyarakat setempat melalui peningkatan kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar.
JKR Sarawak menegaskan komitmennya melaksanakan pembangunan infrastruktur berkualiti bagi meningkatkan kemudahan awam dan kesejahteraan masyarakat di seluruh negeri.
Selepas majlis perasmian, rombongan meninjau kemudahan baharu bagi melihat fasiliti yang disediakan untuk warga sekolah.



