BINTULU: Kerjasama antara wakil rakyat, pemimpin masyarakat dan penduduk penting bagi memastikan pembangunan Kampung Assyakirin Fasa 3 memenuhi keperluan serta keutamaan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, pandangan ketua kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk perlu diambil kira dalam merancang projek yang memberi manfaat.

Kejayaan pembangunan bukan sekadar diukur berdasarkan jumlah peruntukan atau projek, sebaliknya melalui impaknya terhadap kesejahteraan dan kehidupan harian penduduk.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Bersama YB Johnny Pang di Kampung Assyakirin Fasa 3 di sini, Ahad.
Beberapa projek dilaksanakan menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP), termasuk menaik taraf balai raya dan pusat komuniti serta membina dewan serbaguna baharu.
“Pada 2022, sebanyak RM50,000 diperuntukkan untuk menaik taraf balai raya kampung, diikuti RM90,000 pada 2023 bagi kerja menaik taraf pusat komuniti.
“Pada tahun sama, RM605,000 turut disalurkan bagi pembinaan dewan serbaguna baharu untuk menampung aktiviti kemasyarakatan dan menyediakan ruang lebih selesa kepada penduduk,” katanya.
Sementara itu, projek pembinaan pintu masuk baharu kampung diteruskan pada 2026 bagi memperindah persekitaran serta meningkatkan kemudahan di kawasan berkenaan.
Johnny Pang berkata, kemudahan awam perlu dinilai dan ditambah baik dari semasa ke semasa seiring pertambahan penduduk serta perubahan keperluan komuniti, khususnya melibatkan jalan raya, sistem saliran dan infrastruktur asas.
Beliau menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan ketua kampung, JKKK dan penduduk bagi mengenal pasti keperluan pembangunan serta menyelaraskan penambahbaikan dengan agensi berkaitan.
Beliau turut menggalakkan penduduk mengemukakan cadangan dan maklum balas bagi memastikan pembangunan di kawasan Tanjong Batu dirancang secara teratur serta menepati keperluan masyarakat.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pemimpin masyarakat, jawatankuasa penganjur dan penduduk atas sokongan serta kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.



