KUALA TERENGGANU: Tiga pemimpin kanan Majlis Pengakap Sarawak menerima pingat kebesaran daripada Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam pembangunan pergerakan pengakap.
Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak, Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom dianugerahkan Pingat Bintang Seri Mahkota Pengakap Darul Iman.

Timbalan Yang Dipertua, Dato’ Mohamad Safri Datuk Abdillah dan Naib Yang Dipertua, Kol Juma’at Ibrahim pula masing-masing menerima Pingat Bintang Seri Setia Pengakap Darul Iman.
Anugerah itu disampaikan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu istiadat di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada 25 Oktober 2026.
Bagaimanapun, Kol Juma’at tidak dapat menghadiri istiadat berkenaan.
Pengiktirafan itu menghargai sumbangan dan kepimpinan ketiga-tiga tokoh berkenaan dalam memperkukuh pergerakan pengakap serta membimbing golongan muda menerusi khidmat bakti dan penglibatan dalam masyarakat.



