KUCHING: Golongan orang kurang upaya (OKU) perlu diberikan peluang dan ruang untuk menyerlahkan bakat mereka, bukannya dinilai berdasarkan keterbatasan keupayaan semata-mata.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, golongan berkeperluan khas ada kebolehan tersendiri yang boleh diketengahkan sekiranya masyarakat memberikan sokongan sewajarnya.
Beliau berkata, persembahan kumpulan Anak Jolo pada Program Jualan Terbuka Persatuan Bagi Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal (PERKATA) Sarawak membuktikan golongan OKU mampu menampilkan bakat apabila diberikan peluang.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program berkenaan di Pusat Pendidikan Khas dan Pejabat Operasi PERKATA Sarawak di sini, hari ini.
Sokongan kepada golongan OKU tidak seharusnya terhad kepada bantuan kewangan, sebaliknya merangkumi kasih sayang, keprihatinan dan platform memperlihatkan kebolehan.
Beliau berkata, PERKATA yang ditubuhkan pada 1973 kini mempunyai 86 pelajar dan 26 kakitangan, sekali gus memerlukan peruntukan besar bagi memastikan operasinya terus berjalan.
Program jualan terbuka itu disertai 46 gerai — mencerminkan sokongan masyarakat terhadap usaha menjaga kebajikan golongan berkeperluan khas.
Dr Sim berkata, penglibatan sedemikian penting dalam memupuk nilai kemanusiaan dan semangat kebersamaan bagi membangunkan Sarawak yang lebih inklusif.



