DEBAK: Gerakan koperasi berpotensi memperkasa sektor pertanian dan agromakanan di Saribas, sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, aktiviti pertanian moden seperti penanaman cili dan terung secara fertigasi di Debak boleh dikembangkan menerusi penglibatan koperasi.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu, pembangunan Taman Agro Lubok Tamang yang berpotensi dalam penanaman kelapa turut membuka peluang kepada masyarakat menyertai rantaian ekonomi, merangkumi pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran hasil pertanian.
Pendekatan koperasi membolehkan petani berkongsi kemudahan, mendapatkan input pertanian secara pukal serta menghasilkan produk bernilai tambah seperti sambal cili, santan dan minyak kelapa.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Cakna Koperasi: Membina Kesedaran, Mencipta Peluang anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sarawak dengan kerjasama Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Unit Debak di Dewan Perpaduan, hari ini.
Koperasi pengguna dan perkhidmatan juga boleh memenuhi keperluan penduduk melalui kedai runcit komuniti atau pusat jualan sehenti menawarkan barangan asas harga kompetitif, selain memasarkan produk tempatan seperti makanan tradisional, hasil pertanian dan kraftangan.
Beliau berkata, golongan belia dan wanita berpeluang mengembangkan perniagaan menerusi koperasi dalam bidang seperti cucian kenderaan, penyelenggaraan, pembersihan, penyediaan makanan, jahitan, penghantaran barangan dan perkhidmatan digital.
Beliau berharap SABERKAS terus menggalakkan penyertaan generasi muda dalam aktiviti ekonomi yang menjana pendapatan dan menyediakan peluang pekerjaan.
Kemudahan infrastruktur dan awam perlu dimanfaatkan secara strategik bagi menyokong kegiatan ekonomi, sekali gus membolehkan penduduk Saribas bukan sekadar menjadi pengguna, malah pengeluar dan pemasar produk serta perkhidmatan tempatan.
Beliau yakin kesedaran, pengetahuan dan kerjasama berterusan mampu memperluas peluang ekonomi, meningkatkan pendapatan keluarga serta memperkukuh kesejahteraan masyarakat Debak.
Kapsyen 1: Dr Mohammad Razi bersama tetamu dan peserta pada Program Cakna Koperasi: Membina Kesedaran, Mencipta Peluang di Dewan Perpaduan, hari ini.
Kapsyen 2: Dr Mohammad Razi ketika melawat tapak pameran pada program berkenaan.



