ARTIKEL

Gambar Hiasan

ANTARA LINUT DENGAN TUMPIK

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TEPUNG lemanta di dalam peti sejuk sudah seminggu tersimpan sejak aku kembali dari Sarawak. Tepung putih bersih itu menarik perhatianku ketika membelinya. Harapanku untuk membuat linut, makanan yang begitu dekat dengan orang Sarawak. Di Sabah dan Brunei, makanan ini dikenali sebagai ambuyat.

Satu lagi hajatku ialah membuat tumpik.

Sudah lama aku tidak merasa makanan ini sejak berada jauh dari negeriku. Linut menggamit kembali memori tentang arwah bonda, yang begitu menggemari makanan ini.

Aku teringat kata-kata bondaku. Jika kita terbayang atau teringin makan linut, kita mesti mendapatkannya. Jangan sampai kempunan. Katanya, kempunan boleh membawa tragedi.

“Pas ponet,” bisikku sambil jari telunjuk menyentuh lidah, hidung dan dahi. Amalan yang diwarisi sejak kecil itu masih aku amalkan walaupun sudah melangkah ke era milenium.

Berpandukan video di media sosial, aku belajar membuat linut. Ini bukan kali pertama aku mencuba, tetapi sebelum ini tidak menjadi.

Aku mengambil dua senduk tepung lemanta dan mencampurkannya dengan sedikit air sejuk. Setelah digaul, air yang mendidih kutuangkan ke dalam tepung. Kugaul dan kugaul sehingga menjadi jernih.

Aku tersenyum. Akhirnya berjaya juga menghasilkan linut.

“Ada siapa nak makan linut?” Anak-anak menggelengkan kepala.

Aku terus menikmati linut, makan bersama sambal yang dicampur dengan terung asam. Sungguh enak.

Keesokan harinya, aku membuat tumpik. Sekeping sahaja, untuk aku seorang. Anak-anak tidak pernah makan tumpik. Mereka tidak tahu apa itu tumpik.

Aku teringat seorang Dato, ibu kepada kawan anakku dari Semenanjung, yang pernah kutemui di sebuah kedai kek. Dia begitu menggemari tumpik.

“Boleh buat, Dato,” kataku ketika itu.

“Yang penting, asal ada bahan,” Dato tersenyum.

Aku mencampurkan tepung lemanta dengan kelapa parut dan sedikit air. Setelah sebatі, adunan itu dimasukkan ke dalam perimpan. Tanpa minyak, kutekan-tekan dengan sudip sehingga masak.

Setelah siap, kuletakkan tumpik di atas pinggan.

“Ju makan, Ainia.”

Anakku hanya memerhati sahaja tumpik sambil menggeleng kepala. Ainia hanya kenal pajeon, makanan Korea kegemarannya.

Kusediakan gula apung untuk dimakan bersama tumpik dan secawan teh.

Belum sempat aku menjamah, suamiku pulang dari pejabat. Dia melihat makanan yang terhidang di atas meja.

“Tumpik?”

Aku terqamam.

“Tahu ke?”

“Tahu. Inilah makanan yang kami makan semasa banjir dulu.” Aku memandangnya.

“Tumpik yang sama?”

“Ya. Daripada tepung sagu.”

Dia mula bercerita. Arwah ayahnya menebang pokok nipah yang tumbuh di belakang rumah sekitar awal 1970-an. Dalam keadaan susah, apa-apa sahaja yang ada di sekeliling mereka, itulah yang dimakan.

“Kami orang susah. Tiada beras. Batang nipah yang tua diparut, kemudian dimasukkan ke dalam kain dan diperah untuk mendapatkan sagunya.

“Kami makan dengan kelapa parut dan gula merah.” Sekarang, tepung sagu mentah seperti dahulu sudah tidak mudah diperoleh.

Tidak disangka rupanya tumpik juga pernah menjadi makanan di daerah suamiku tinggal.

Aku gembira melihat suamiku tidak sabar untuk menikmati tumpik itu.

Kami membahaginya dua.

“Kali ini kita kongsi, ya.”Dia tersenyum.

“Saya ingat tiada orang nak makan. Sebab itu saya buat sedikit sahaja. Nanti saya buat lagi.”

Rupanya makanan bukan sekadar pengalas perut. Ada makanan yang menyimpan kenangan.

Dua negeri yang terpisah Laut China Selatan, menemukan kami pada sepinggan tumpik.

BERITA LAIN

PEJUANG NAFKAH

Dia tidak pernah ambil tahu jika wang di saku sering berbaki cukup-cukup nyawa. Dia tidak pernah peduli kalau ringgit makin mengukuh merujuk ungkapan orang ekonomi.

GELANDANGAN

Melintasi kedai serba ada kulihаt dia berbaring santai menyesak ruang masуk ke pintu kedai pelanggan lalu-lalang memandang sinis menutup hidung. Kita ini miskin atau kaya

BERITA TERBARU