KUCHING: Agenda pembangunan serta pelbagai keperluan semasa Sarawak menjadi fokus utama dalam Mesyuarat Pembangunan Negeri yang dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi di sini, hari ini.
Mesyuarat yang berlangsung kira-kira sejam itu menjadi platform penting bagi membincangkan pelaksanaan pembangunan negeri termasuk projek infrastruktur dan kemudahan awam, serta perkara berkaitan keperluan semasa yang memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.
Pertemuan tersebut juga merupakan sebahagian daripada pendekatan berterusan kerajaan pusat untuk berinteraksi secara langsung dengan kepimpinan kerajaan negeri berhubung pelaksanaan pembangunan serta isu berkaitan keperluan setempat.

Langkah itu dilihat penting bagi memastikan segala perancangan pembangunan dapat diselaraskan dengan lebih berkesan selain mempercepat pelaksanaan projek yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah serta barisan Kabinet negeri yang lain.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Setiausaha Kewangan Sarawak, Datuk Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar..
Terdahulu Anwar tiba di Terminal Orang Kenamaan (VIP) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 1.40 petang dengan menaiki pesawat khas sebelum berangkat ke Kompleks Satria Pertiwi bersama-sama rombongan beliau.
Beliau kemudian tiba di kompleks tersebut pada jam 2.14 petang bagi mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Negeri bersama-sama kepimpinan kerajaan Sarawak.
Mesyuarat itu merupakan antara pengisian utama dalam rangka lawatan kerja sehari Anwar ke Sarawak bagi meninjau perkembangan pembangunan negeri serta memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak.



