KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada semua calon yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan hari ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar berharap agar mereka terus melangkah dengan tekad dan keyakinan bagi melakar kejayaan di peringkat lebih tinggi, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara berteraskan ilmu, nilai dan keinsanan.
Bagi pelajar yang kurang bernasib baik, beliau menasihati mereka agar tidak berputus asa memandangkan perjalanan masih jauh dan ruang untuk bangkit sentiasa terbuka kepada mereka yang tidak lelah berusaha.
“Sistem pendidikan negara tersedia untuk menyokong setiap langkah. Masa depan tidak ditentukan oleh satu keputusan, tetapi oleh kesungguhan untuk terus melangkah dan berjaya,” kata Anwar.
Keputusan SPM 2025 mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42 berbanding 4.49 pada tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad dilaporkan berkata seramai 13,779 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran bagi tahun 2025.
Pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 3.55 peratus berbanding 13,827 calon pada tahun 2024. – BERNAMA

