KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita susulan nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang membawa empat petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seorang juruterbang berhampiran Long Lellang, Sarawak, petang semalam.
Anwar berkata, ingatan serta doa beliau dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersama-sama keluarga mangsa yang kini berdepan detik amat berat berkenaan.
“Ingatan serta doa saya dan Azizah bersama keluarga kesemua mangsa yang sedang melalui detik yang begitu berat ini.
Moga mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam hal berkaitan, beliau juga memohon semua pihak memberikan ruang kepada ahli keluarga serta mengelakkan sebarang spekulasi sementara menanti maklumat sah daripada pihak berkuasa.
“Kerajaan akan memberikan segala bantuan dan sokongan yang diperlukan kepada keluarga mangsa, Insya-Allah,” ujarnya.
Semalam, Malaysia digemparkan dengan nahas helikopter jenis BO-105 yang membawa lima individu dan dilaporkan terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Ulu Baram.
Sekitar jam 3.58 petang, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga menerima pemberitahuan mengenai kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan.
Helikopter tersebut membawa lima individu termasuk Kapten Zainol Afiq (juruterbang), Dr. Ainul Baraah Kamaruddin (pegawai perubatan), Alexson Adit (penolong pegawai perubatan), serta jururawat Debra Moset dan Jessie Paya.

