Apa ada di Sarikei?

SARIKEI: Lokasinya di tebingan Batang Rajang menjadikan Sarikei sebagai salah satu lagi kawasan unik di Sarawak.

Bermula sebagai sebuah pekan kecil, Sarikei didiami pelbagai etnik terdiri daripada kaum Cina, Iban, Melanau dan Melayu kini sudah berubah wajah dan terus mengorak langkah menuju pembangunan.

Kedudukannya di pertengahan Sarawak menjadikannya sebagai lokasi persinggahan terutama bagi mereka dari Kuching ke Sibu melalui jalan raya atau pengangkutan sungai menggunakan ekspres.

Terdapat juga perkhidmatan pengangkutan bas awam dari Kuching ke Sarikei dan seterusnya ke Sibu. Sarikei mempunyai empat daerah iaitu Sarikei, Meradong, Pakan dan Julau.

Selain terkenal dengan hasil pertanian dan buah-buahan, kawasan ini menjadi pusat pemasaran produk kampung.

Justeru, tidak hairan jika Sarikei menjadi tumpuan pengunjung terutama pada musim cuti dan hujung minggu.

Sehubungan itu, Adun Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, rakyat Sarikei bertuah kerana tidak terpinggir daripada menikmati projek pembangunan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak.

Sarikei katanya, mempunyai Green Pasture atau kawasan baharu yang memberi peluang baharu kepada rakyat.

Malah ujarnya, keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap kebajikan rakyat sangat besar dengan mengambil kira kepentingan dan manfaatnya untuk semua pihak.

“Pelaksanaan projek berimpak tinggi di Sarikei merupakan bukti jelas keprihatinan Kerajaan Sarawak bagi memastikan kehidupan rakyat sentiasa terjamin.

“Saya amat berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana meluluskan projek pembinaan jalan dari Sarikei ke Tanjung Manis,” katanya kepada Suara Sarawak.

Sementara itu, Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, Sarikei mempunyai potensi besar untuk berkembang maju dalam bidang pertanian.

Menurutnya, dengan kekayaan sumber dan bahan mentah yang terdapat di Sarikei dan di sekitarnya, Bahagian Sarikei boleh berkembang sebagai penggerak utama aktiviti ekonomi terutamanya di kawasan tengah Sarawak.

Ujarnya, lokasi Sarikei yang strategik terutamanya sebagai rangkaian utama logistik dalam memasarkan produk pertanian.

“Sebagai sokongan terhadap usaha tersebut, Kerajaan Sarawak kini giat melaksanakan agenda pemantapan jaringan hubungan dan komunikasi terutamanya di kawasan luar bandar dan pesisir pantai.

“Selain itu, kerajaan mengenal pasti lokasi ini kaya dengan sumber dan bahan mentah untuk menggerakkan industri ini.

“Justeru, kita menggesa masyarakat agar bersama-sama untuk bergerak dalam menjayakan misi membangunkan kawasan tengah Sarawak,” katanya.

Beliau yang juga Adun Kuala Rajang berkata, inisiatif meluluskan projek agro pertanian di Sarikei dan Bintangor ialah usaha untuk melonjakkan potensi bahagian ini dalam sektor pertanian moden melalui kaedah ICT yang mempunyai pangkalan datanya yang tersendiri.

Katanya, Pembangunan Taman Agro Sungai Baji dengan keluasan 314 ekar dilaksanakan di kawasan yang terletak sejauh 5.2 kilometer dari bandar.

Menurutnya, projek dilengkapi dengan penggunaan sistem IoT dan ICT yang dihubungkan secara terus dengan pasaran sudah pasti menyediakan peluang ekonomi baharu kepada penduduk tempatan.

“Melalui aktiviti agro pertanian, Taman Agro Sungai Baji bakal menjadi tempat tarikan pelancongan terbaharu Sarawak.

“Projek ini akan menjadi pelengkap kepada Agropolitan Bukit Sadok di Betong dan Hub Halal Tanjung Manis sebagai pengeksport makanan,” jelasnya.

Suara Sarawak