KUCHING: Kerajaan Sarawak disarankan memberi perhatian serius terhadap isu keterangkuman gender dalam pelantikan kepimpinan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen berkata, agenda kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita yang digariskan di bawah Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) tidak akan dapat dicapai jika wanita masih tidak diberikan ruang sewajarnya dalam kedudukan pembuat keputusan.
“Hanya seorang wanita yang memegang jawatan Pegawai Daerah dalam mana-mana Majlis Daerah, iaitu di Majlis Daerah Subis.
“Adakah wanita begitu tidak berkeupayaan untuk memegang jawatan Datuk Bandar, Pengerusi Majlis Perbandaran atau Pegawai Daerah?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Jelas beliau, keadaan itu sangat jauh daripada sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam kepimpinan sebagaimana yang sering ditegaskan di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Ini tidak selari dengan agenda kesaksamaan gender di bawah SDG.
“Saya berharap kerajaan dapat mengambil langkah pembetulan dan membuka lebih banyak ruang kepada wanita untuk mengetuai pentadbiran bandar raya, majlis perbandaran dan majlis daerah,” ujarnya.
Chong turut menekankan bahawa penyertaan wanita dalam struktur kepimpinan bukan hanya simbolik tetapi penting dalam memastikan dasar-dasar kerajaan lebih inklusif, seimbang dan responsif terhadap keperluan masyarakat.
Beliau berharap kerajaan Sarawak meneliti isu berkenaan dengan serius dan melaksanakan pembaharuan yang dapat memperkasa lebih ramai wanita untuk mengetuai organisasi utama di peringkat tempatan.


