MIRI: Dua warga Amerika Syarikat diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas kapal layar mereka mengalami masalah jentera di perairan Miri, lewat petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad, berkata pihaknya menerima isyarat kecemasan sebelum segera menggerakkan sebuah kapal peronda ke lokasi kejadian.

“Hasil operasi pencarian, kapal peronda kami menemukan kapal layar FRENCH KISS bersama-sama dua individu warga Amerika Syarikat.
“Kedua-duanya berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kapal layar berkenaan kemudiannya diiring ke Jeti Marina Bay, Miri untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar membawa alat Peranti Isyarat Kecemasan Peribadi (PLB) dan memakai jaket keselamatan ketika beraktiviti di laut bagi mengelakkan sebarang risiko kecemasan.
Sebarang kejadian kecemasan boleh dilaporkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-649111 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau 082-432016, selain talian kecemasan 999.

