KUALA LUMPUR: Selepas lebih sedekad membina kerjaya di United Kingdom (UK), penyanyi dan penulis lagu Ariff AB kini mengintai peluang untuk memperkenalkan karya terbaharunya kepada peminat muzik tanah air.
Ariff atau nama sebenarnya Ariff Abu Bakar, 35, berkata beliau kini berada di Malaysia hingga September bagi bercuti, di samping meninjau peluang bekerjasama dengan penggiat industri tempatan.

Beliau mengakui muzik alternatif bergenre Indie Freak Folk yang dibawakan, dengan kebanyakan karya dalam bahasa Inggeris, berdepan cabaran untuk menembusi pasaran tempatan yang lebih cenderung kepada lagu berbahasa Melayu dan muzik mengikut trend semasa.
Menurutnya, pengalaman sebagai artis bebas di UK mengajarnya bahawa seseorang pemuzik perlu proaktif membina komuniti sendiri, konsisten menghasilkan karya serta berani memperkenalkan muzik kepada khalayak baharu tanpa hanya bergantung kepada syarikat rakaman atau pihak pengurusan.
Beliau turut menggalakkan artis tempatan memperluas jaringan antarabangsa dengan meningkatkan jangkauan penonton daripada pelbagai latar belakang.
Ariff kini sedang menyiapkan album ketiganya, We Are Wolves, yang memuatkan 12 lagu ciptaan sendiri dan dijangka dilancarkan hujung tahun ini.
Menurut Bernama, single pertama daripada album itu, Rise Again, dijadual diperkenalkan pada Oktober, diikuti siri jelajah di London, Bristol, Leeds, Norwich dan Brighton bermula 9 Oktober, selain dipromosikan menerusi program BBC Music Introducing.
Mengagumi Allahyarham Datuk Sudirman Arshad serta pernah bekerjasama dengan Aurora Aksnes dari Norway dan Charlotte OC dari UK, Ariff berharap dapat berkolaborasi dengan Datuk Amy Search dan Datuk M. Nasir.
Beliau turut menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya satu pengiktirafan dalam industri muzik UK sebelum mengembangkan kerjaya ke pasaran Amerika Syarikat dalam tempoh dua tahun akan datang.
Selain bidang muzik, beliau turut menguruskan kerjaya tinju adiknya, Aiman Abu Bakar, yang kini bergelar juara kategori super featherweight World Boxing Council (WBC) Asia.







