ARTIKEL

Pusingan Kedua Rundingan FTA Malaysia-Bangladesh Diadakan Januari Depan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HYDERABAD: Malaysia dan Bangladesh mencapai kemajuan ketara dalam rundingan ke arah memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas (FTA), dengan kedua-dua negara bersetuju mengadakan pusingan kedua rundingan pada Januari depan dan menyasarkan perjanjian itu dimuktamadkan menjelang akhir 2027.

Kementerian Perdagangan Bangladesh dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pusingan pertama rundingan berakhir di Dhaka pada Khamis selepas tiga hari perbincangan.

Kumpulan kerja kedua-dua negara meneliti draf teks yang merangkumi pelbagai bab dalam perjanjian yang dicadangkan itu, termasuk perdagangan barangan dan perkhidmatan, pelaburan, perdagangan digital, kastam serta peraturan asal usul.

Delegasi Malaysia pada rundingan di Dhaka itu diketuai Dr Rashidi Said, pegawai kanan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Kementerian Perdagangan Bangladesh memaklumkan bahawa dengan berakhirnya pusingan pertama rundingan, proses merangka perjanjian itu kini melangkah setapak lagi ke hadapan.

Ketua Perunding Bangladesh Khadija Nazneen, yang juga Setiausaha Tambahan di kementerian itu, menjangkakan cadangan FTA berkenaan akan meningkatkan perkongsian ekonomi dengan Malaysia ke tahap lebih tinggi serta memperkukuh kerjasama dalam sektor teknologi, pelaburan dan perindustrian, menurut laporan media tempatan.

— BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU