KUCHING: Prestasi bahagian serangan Kuching City FC (KC FC) akan menjadi fokus utama menjelang musim baharu tahun depan.
Ketua Jurulatih Kuching City FC( KC FC), Aidil Sharin Sahak berkata, ia (bahagian serangan) antara kelemahan yang perlu diperbaiki memandangkan jumlah jaringan yang terhasil bagi musim ini kurang memberangsangkan.
“Melihat kepada statistik, Kuching City tidak menjaringkan banyak gol.
“Musim depan kita perlu memperbaikinya dan memastikannya lebih baik memandangkan kelab mempunyai kurang jaringan dan perkara ini adalah tidak bagus untuk bola sepak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan terakhir KC FC menentang Negeri Sembilan di Stadium Tunku Abdul Rahman pada Ahad.
Beliau berkata bahawa beberapa perancangan telah dirangka termasuk meningkatkan keserasian pemain khususnya pemain import.
“Kita mahu mereka lebih memahami corak permainan bola sepak Malaysia agar keserasian antara pemain lebih menyerlah,” katanya.
Sementara itu, aksi di Stadium Paroi menyaksikan KC FC menang 4-1 ke atas Negeri Sembilan FC dengan menjaringkan tiga gol pada separuh masa kedua.
Aidil mengakui kemenangan itu menjadi pemangkin semangat buat para pemain sebagai persiapan menghadapi saingan liga malaysia pada musim baharu kelak.
Biarpun dibolosi selepas tiga minit perlawanan hasil jaringan Shahrel Fikri, skuad kendalian Aidil berjaya menemui rentak selepas jaringan penyamaan pada minit akhir separuh masa pertama.
“Selepas ketinggalan satu jaringan, rentak permainan kita kembali dan meneruskan usaha dengan melakukan beberapa peluang jaringan namun sayangnya tidak menemui penyudah sebelum Bruno memecahkan kebuntuan itu,” katanya.
Mengenai perlawanan, beliau memuji para pemain kerana telah memberikan aksi memberangsangkan sambil berharap prestasi itu dapat dikekalkan.
Bruno menjaringkan dua gol, manakala dua lagi gol dijaringkan oleh Pedro Henrique Cortes Oliveira Gois dan Yuki Tanigawa.

