KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama ASEAN melaksanakan program ASEAN GeoAI Fusion 2026, sebuah platform serantau yang menghimpunkan bakat, industri, akademia dan pemegang taruh ASEAN dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi geospatial.
Program ini mencerminkan usaha berterusan MCMC sebagai penggerak ekosistem dalam menghubungkan pelbagai pemegang taruh dalam meneroka teknologi baharu, memperkukuh keupayaan serta menggalakkan pertukaran kepakaran di antara Malaysia dengan negara-negara ASEAN.
Menurut kenyataan media, ASEAN GeoAI Fusion 2026 menyaksikan 48 finalis daripada 17 pasukan terbaik seluruh ASEAN yang membangunkan penyelesaian berasaskan GeoAI bagi menangani cabaran dunia sebenar dalam pengurusan bencana, perubahan iklim, pertanian, pembangunan bandar, telekomunikasi dan perkhidmatan awam.
Sejak dilancarkan, program ini menarik lebih 1,100 peserta, sekali gus memperlihatkan potensi besar rantau ini dalam penggunaan teknologi GeoAI.
“GeoAI berpotensi menyokong agenda transformasi digital negara melalui analisis data geospatial yang lebih pantas, tepat dan berasaskan bukti. Teknologi ini boleh dimanfaatkan untuk sistem amaran awal bencana, pemantauan risiko iklim, pengurusan pertanian, perancangan bandar mampan serta penambahbaikan penyampaian perkhidmatan awam.
“Selain pertandingan, ASEAN GeoAI Fusion 2026 menyediakan ruang perkongsian pengetahuan dan pembinaan rangkaian antara peserta, pakar industri, akademia dan pembuat dasar.
“Ia juga membuka peluang untuk memperluas penggunaan GeoAI, mengembangkan bakat serta mengenal pasti potensi kerjasama di Malaysia dan rantau ASEAN,” jelas kenyataan tersebut.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching hadir menyempurnakan majlis penutupan program tersebut.
Melalui program ini, MCMC turut menggalakkan kolaborasi antara industri, institusi pengajian tinggi, kerajaan dan rakan strategik dalam membangunkan penyelesaian teknologi yang relevan kepada keperluan rakyat, industri dan negara, seterusnya memperluas jaringan kerjasama serantau.

