KUALA LUMPUR: ASEAN tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada model pelaburan langsung asing (FDI), sebaliknya perlu memperkukuh pelaburan dalam syarikat teknologi tempatan demi menjamin masa depan ekonomi serantau.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata wujud tanggapan yang tidak tepat bahawa teknologi harus mesti datang dari luar dan ASEAN hanya berfungsi sebagai tapak pengeluaran.
“Jika lebih banyak pelaburan disalurkan kepada (syarikat) teknologi ASEAN, kita berpotensi melihat lebih banyak syarikat yang mampu berkembang sebagai MNC serantau, malah di peringkat global.
“Potensi tersebut sememangnya wujud, namun kita perlu usaha yang menyeluruh bagi menghubungkan pembiayaan, teknologi dan dasar perindustrian bagi membentuk pasaran yang kukuh di ASEAN,” rendah di dunia apabila BUDI95 dilaksana kata Liew pada sidang media selepas pelancaran Majlis Pasaran Swasta ASEAN (APMC) di sini.
APMC merupakan antara 12 inisiatif yang diterajui oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) bagi menangani halangan struktur yang sekian lama menyekat kemajuan pasaran modal ASEAN.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, ASEAN-BAC berkata antara halangan utama berkenaan termasuk kerangka peraturan yang tidak seragam antara negara anggota, pengurusan dana tempatan yang lemah, kekurangan peluang pelaburan berskala besar, persekitaran keluar pelaburan yang tidak memberi pulangan yang memuaskan serta kemerosotan minat pelabur global terhadap pengumpulan dana di rantau ini.
Lebih 20 institusi pasaran kewangan swasta utama dari negaranegara ASEAN telah menyatakan komitmen untuk menjadi ahli pengasas APMC, kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Liew berkata pelancaran APMC adalah bagi membuka potensi pelaburan serantau, termasuk pelaburan dalam sektor teknologi ASEAN selain membantu mewujudkan kepentingan awam di rantau ini. – BERNAMA



