KUCHING: Aset industri yang tidak digunakan tidak seharusnya dibiarkan susut nilai kerana masih berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, pertumbuhan ekonomi negeri tidak boleh hanya bergantung kepada pelaburan baharu, sebaliknya modal sedia ada perlu terus diaktifkan dan dimanfaatkan.
“Sarawak sedang melalui proses transformasi dengan industri sedia ada berkembang, sektor baharu memasuki pasaran dan negeri ini terus memperkukuh kedudukan sebagai pemain serantau dalam minyak dan gas, tenaga hijau serta industri berpertumbuhan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran BidMyAsset Borneo di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurut Hazland, ekonomi kitaran dan pengoptimuman aset merupakan antara keutamaan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Pelan Hala Tuju Kelestarian Sarawak.
“Ekonomi kitaran memastikan sumber dan modal kekal produktif selama mungkin, manakala pengoptimuman aset bermaksud menggunakan sepenuhnya apa yang Sarawak sudah ada sebelum mencari perkara baharu,” ujarnya.
Katanya, peralatan, jentera dan lebihan aset industri yang dibiarkan terbiar merupakan modal yang tidak lagi menyumbang kepada ekonomi negeri.
Beliau menggesa syarikat yang beroperasi di negeri ini menilai semula pengurusan aset bagi memastikan modal kekal aktif dan produktif dalam ekonomi Sarawak.
Sementara itu, Pengarah BidMyAsset Borneo Sdn Bhd, Amirul Annuar berkata, usaha Sarawak meningkatkan saiz ekonomi kepada RM282 bilion menjelang 2030 di bawah PCDS 2030 memerlukan syarikat terus berkembang serta menaik taraf mesin, teknologi dan kemudahan.
Proses berkenaan turut menyebabkan syarikat mempunyai peralatan lama yang tidak lagi diperlukan dan sering dibiarkan di gudang atau kilang sehingga nilainya susut.
Menurut Amirul, keadaan itu turut berlaku dalam sektor perkayuan dan perhutanan, minyak dan gas, pembuatan serta pertanian yang sedang menyesuaikan operasi dengan keperluan semasa.
Katanya, mesin yang tidak lagi diperlukan sesebuah syarikat masih boleh dimanfaatkan syarikat lain di Sarawak atau pasaran serantau.
Beliau berkata, syarikat juga wajar menilai potensi nilai peralatan lama sebelum menganggapnya sebagai besi buruk atau membuat pelupusan.


