MULU: Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang menerima kunjungan ribuan pelancong setiap tahun, aspek keselamatan pengangkutan sungai di Taman Negara Gunung Mulu terus menjadi keutamaan untuk diperkukuh dan dikekalkan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, tahap keselamatan yang tinggi amat penting bagi memastikan reputasi Mulu sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia sentiasa terpelihara.
“Pengangkutan sungai merupakan antara mod perhubungan utama di kawasan berkenaan dan perlu sentiasa berada pada tahap terbaik bagi menjamin kelancaran pergerakan serta keyakinan pengguna.
“Mulu merupakan antara destinasi pelancongan paling terkenal di Sarawak. Reputasinya bergantung kepada keupayaan kita memastikan pelancong serta penduduk setempat dapat bergerak dengan selamat dan yakin.
“Mereka menggunakan pelbagai kemudahan termasuk pengangkutan sungai untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain, justeru tahap keselamatan yang tinggi perlu sentiasa dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai di Kampung Kuala Melinau yang dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin di sini, hari ini.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu itu, keselamatan pengangkutan air bukan sahaja melindungi nyawa pengguna malah turut meningkatkan keyakinan pelawat terhadap sistem pengangkutan dan perkhidmatan yang disediakan di kawasan berkenaan.
“Justeru, saya menzahirkan penghargaan terhadap usaha Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSSS) yang terus memainkan peranan penting dalam memperkecil risiko dan memperkukuh tahap keselamatan pengangkutan air di seluruh negeri,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan taklimat keselamatan serta demonstrasi penggunaan jaket keselamatan kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan dan komuniti setempat merupakan inisiatif berkesan yang wajar diteruskan.
“Oleh itu, saya menyeru masyarakat setempat agar terus memelihara kebersihan sungai dan tidak menjadikannya sebagai tempat pembuangan sampah.
“Amalan ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan awam dan mengancam hidupan akuatik malah boleh merosakkan keindahan alam semula jadi yang menjadi tarikan utama pelancong ke Mulu,” katanya.

