KAPIT: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mempertingkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menghadapi gelombang ketiga penularan pandemik Covid-19.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ini merupakan komitmen ATM dalam tugas sekunder bagi memastikan kesejahteraan dan kesihatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Katanya, kemudahan logistik semasa dalam membawa bantuan perubatan dan peralatan kesihatan juga akan diteruskan dengan menggunakan aset ATM mengikut keperluan terutamanya penghantaran udara yang melibatkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Beliau turut berkata, penubuhan hospital medan di lain-lain lokasi juga adalah tertakluk kepada keperluan semasa dan kemampuan sedia ada yang dapat disediakan oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM
Kata Affendi, Hospital Medan ATM Kapit adalah hospital kedua seumpamanya didirikan selepas kejayaan mengoperasikan konsep hospital yang sama di Tawau, Sabah.

“Melalui atur gerak pasukan Batalion Pertama Perubatan yang berpangkalan di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Hospital Kapit, hospital medan ini berperanan menyediakan rawatan kepada pesakit selain kes-kes Covid-19.
“Hospital berkapasiti 40 buah katil ini turut dilengkapi dengan kemudahan wad, farmasi, x-ray dan bilik rawatan kecemasan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Hospital Medan ATM Kapit hari ini, yang telah beroperasi sejak 10 Mei lalu di Dewan Masyarakat Melayu, Kapit.
Affendi memberitahu, melalui kemudahan yang disediakan ini, ia akan membolehkan Hospital Kapit memberi tumpuan kepada perkhidmatan rawatan kes Covid-19 di samping mempunyai kapasiti katil yang mencukupi bagi pesakit wabak berkenaan dan kes yang lebih serius.
Katanya, sejak hari pertama menerima pesakit pada 10 Mei sehingga 14 Mei, seramai tujuh pesakit telah ditempatkan di hospital ini dan seorang daripada mereka telah dibenarkan keluar.
Tambahnya, pengoperasian hospital medan ini juga adalah 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan antara rawatan yang dilaksanakan termasuklah perkhidmatan rawatan pesakit dalam (12 jam sehari mengikut shif bagi pertugas klinik) dan perkhidmatan bahagian pentadbiran dan sokongan (jam 7 pagi hingga 4 petang).
“Pada ketika ini kes pembedahan belum lagi dilaksanakan di hospital berkenaan.
Walau bagaimanapun, keupayaan hospital ini boleh dipertingkatkan dengan
perkhidmatan dewan bedah dan unit rawatan rapi (ICU) jika ada keperluan semasa,” ujarnya.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa.



