KUCHING: Projek Perintis Audit Pematuhan Alam Sekitar direka untuk dijalankan dua audit setahun.
Kontroler Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Datuk Jack Liam berkata, syarikat yang mengambil bahagian akan melaksanakan audit dalaman dalam tempoh enam bulan pertama, diikuti dengan audit luaran bebas.
Jelasnya, pendekatan ini memastikan pematuhan dipantau secara sistematik dan membolehkan syarikat mengenal pasti serta menangani isu lebih awal.

“Di bawah kerangka ini, NREB memberikan panduan dan melantik juruaudit luaran bebas untuk menjalankan audit.
“Syarikat peserta pula melantik juruaudit dalaman untuk menguruskan aktiviti kualiti alam sekitar, menghadiri latihan berkaitan, melaporkan penemuan audit dan melaksanakan tindakan pencegahan atau pembetulan yang diperlukan,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Projek Perintis Audit Pematuhan Alam Sekitar bagi sektor pertanian, kuari dan perlombongan Sarawak di Kampung Digital Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), di sini hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.
Melalui projek perintis ini, Jack berkata, pihaknya berhasrat meningkatkan kesedaran tentang keperluan pematuhan, membina kapasiti teknikal bagi audit dalaman yang berkesan dan menangani jurang lebih awal.
Beliau berkata, projek perintis pertama yang dilancarkan pada November 2017 menumpukan pada sektor perhutanan yang disertai sembilan syarikat diikuti enam lagi pada 2018.
Beliau berkata, dengan kerjasama Persatuan Kayu Sarawak, NREB memberikan latihan dan mengkaji terma dan syarat khusus dalam laporan penilaian kesan alam sekitar yang diluluskan.
Katanya, inisiatif ini memberikan pandangan operasi yang berharga, membolehkan juruaudit dan syarikat yang diaudit berinteraksi secara terbuka, menangani cabaran praktikal dan menambah baik proses audit.
Beliau berkata, sehingga 2026, terdapat 305 juruaudit yang berdaftar dengan NREB, termasuk 76 juruaudit luaran dan 229 juruaudit dalaman.


