KUCHING: Sarawak melihat inisiatif Komuniti Asia Sifar Pelepasan (AZEC) yang dipelopori Jepun sebagai platform strategik untuk memperluas kerjasama teknologi, perdagangan dan pembangunan ekonomi tenaga bersih dalam kalangan negara Asia.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama yang lebih erat antara negara Asia yang sedang membangunkan ekonomi tenaga bersih perlu diperkukuh melalui pertukaran idea, perkongsian teknologi serta pewujudan mekanisme perdagangan yang memberi manfaat bersama.
“Kerjasama yang digerakkan Jepun itu turut membuka ruang kepada pertukaran teknologi, perkongsian kepakaran dan pembangunan industri tenaga baharu yang memberi manfaat kepada semua negara terlibat.
“Memang terdapat kerjasama antara Malaysia dengan Jepun khususnya dalam teknologi baharu dan tenaga hijau,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan moderator yang juga Pengarah Eksekutif Emeritus, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Nobuo Tanaka pada sesi Dialog Berwawasan sempena Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH) 2026, di sini, hari ini.
AZEC merupakan platform kerjasama serantau yang dicadangkan Jepun pada 2022 bagi mempercepat usaha penyahkarbonan negara-negara Asia tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi serantau.


